Nasrudin Hassan
Nasrudin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas mengalu-alukan ketegasan Wisma Putra yang berani mengambil sikap tidak bersetuju dan menolak kenyataan Pengerusi ASEAN berhubung isu kemanusiaan di Myanmar.

Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan berkata, parti itu turut bertegas meletakkan pembunuhan etnik Rohingya sebagai isu yang memerlukan satu tindakan berkesan dari kerajaan Malaysia dan seluruh negara Islam di dunia ini.

Kata beliau, selayaknya ASEAN mesti bersama dengan masyarakat antarabangsa memberi tekanan kuat dan berterusan kepada kerajaan Myanmar supaya menghentikan segera penindasan ke atas etnik Rohingya di Arakan.

Pada masa sama, ujarnya, Malaysia tidak boleh sekadar berkecuali daripada kenyataan yang dikeluarkan Pengerusi ASEAN itu.

“Sebaliknya, Malaysia mesti menunjukkan komitmen sebenar dalam isu ini dengan merintis suatu pelan tindakan bersama peringkat nasional dan global agar menjadi teladan kepada negara anggota ASEAN yang lain.

“Untuk itu, Pas buat kesekian kalinya menegaskan kerajaan Malaysia perlu segera mengadakan Sidang Khas Parlimen bagi memuktamadkan tindakan yang wajar diambil oleh kerajaan.

“Memberikan kata dua kepada kerajaan Myanmar dan tekanan diplomatik yang selayaknya,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Menurut Nasrudin, kerajaan juga perlu menganjurkan mesyuarat tergempar dengan negara yang mempunyai pendirian sama dengan Malaysia dalam isu berkenaan untuk mengambil langkah bersama yang efektif dalam menangani penderitaan Rohingya.

“Saya percaya, kita semua boleh berganding bahu untuk melakukan sesuatu yang lebih baik dalam isu ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Comments are closed.