Presiden Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan (tengah) bersama wakil penduduk Kampung Nakhoda, Batu Gaves menunjukkan poster bantahan berkaitan Ajaran Sesat Qadiani yang beroperasi dan aktif sekitar kawasan mereka pada sidang media di Our Private Place Villa Puteri Condominium, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 27 SEPTEMBER 2017.

KUALA LUMPUR – Penduduk Kampung Nakhoda, Batu Caves menggesa agar Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memansuhkan perkataan Islam pada kad pengenalan kesemua penganut ajaran Qadiani yang berpusat di Kampung Nakhoda.

Setiausaha Jawatankuasa Kampung Nakhoda, Azmi Salleh dalam sidang media bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia(PPIM) di pejabat PPIM hari ini berkata, ia berikutan status ajaran tersebut pernah difatwakan haram dan diisytihar sebagai bukan Islam oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

Meskipun begitu, tindakan JPN yang masih meletakkan status Islam pada kad pengenalan pengikut Qadriani hingga hari ini, menimbulkan pelbagai masalah kepada masyarakat Islam, terutama dalam kalangan penduduk Kampung Nakhoda.

“Kita mendesak supaya Jabatan Pendaftaran Negara memansuhkan penggunaan status Islam dalam kad pengenalan pengikut Qardiani ini kerana mengelirukan semua pihak.

“Apabila berlakunya pernikahan, apabila saudara mara mengetahui bakal pengantin penganut ajaran Qardiani, berlakulah porak poranda, sampai tak jadi nikah. Mereka ni kejap Islam, kejap bukan Islam.

“Di masjid (Kampung Nakhoda) pernah berlaku kes di mana perkahwinan terpaksa dibatalkan kerana diketahui salah seorang bakal pengantin didapati penganut ajaran Qardiani,” katanya kepada pemberita.

Dalam perkembangan sama, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia(Perkid) Masridzi Sat, menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengambil tindakan segera berhubung kegiatan ajaran Qardiani di kampung tersebut.

Menurutnya, tindakan-tindakan yang dibuat oleh kumpulan yang dikatakan sesat ini, secara terang membuat provokasi terhadap ajaran agama Islam yang sebenar.

“Saya pergi ke jabatan agama islam, mereka tidak dapat mengambil tindakan kerana ajaran ini terikat dengan majlis fatwa. Kita akan desak JAIS untuk ambil tindakan kerana agama Islam sedang dipermain-mainkan di Kampung Nakhoda.

“Majlis Perbandaran Selayang tidak boleh bersubahat berkenaan isu ini kerana ada orang murtad dari agama Islam. Kalau peniaga kecil kamu boleh hambat macam tikus, kena sindiket ajaran sesat ini kamu tidak boleh bertindak. Kita mahu mereka bertindak sama ada meroboh atau menyita,” katanya.

Sehubungsn itu, Masridzi mengingatkan pihak berkuasa agar tidak memandang ringan terhadap aduan-aduan yang telah dikemukakan kepada mereka berkenaan kegiatan yang telah berlarutan puluhan tahun ini.

Sekiranya pihak berkuasa gagal mengambil tindakan, pihaknya bersama penduduk kampung bakal menyelesaikan sendiri perkara tersebut, menurutnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. kenapa tak adakan majlis dailog atau debat . mana pergi ulamak dan mufti yang sepatutnya beetanggong jawab . orang kampong tak mampu berhadapan mereka mungkin kemurangan hujjah . ulamak lah patutnya pergi . mungkin mereka pun sedang mencari kebenaran tapi tersasul

Comments are closed.