Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (dua kiri) melawat pameran berkaitan penerbangan pada Majlis Pelancaran TVET Malaysia di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC), Shah Alam. foto FAREEZ FADZIL, 27 SEPTEMBER 2017.

SHAH ALAM – Kerajaan menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 300,000 orang daripada kumpulan B40 untuk menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal serta Vokasional (TVET) menjelang 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, program TVET adalah penting dan mampu meningkatkan taraf hidup dan ekonomi sesebuah keluarga yang berada dalam kumpulan B40.

“Melalui program pendidikan dan latihan yang dilaksanakan di institusi TVET, kerajaan berhasrat untuk melatih 300,000 orang rakyat Malaysia dari golongan B40 dari tempoh sekarang sehingga tahun 2025,” kata Najib semasa berucap pada majlis pelancaran TVET Malaysia di Pusat Latihan Teknologi Tinggi (Adtec) hari ini.

Jelas Najib, kerajaan juga menyasarkan untuk membangunkan tenaga kerja negara ke tahap lebih tinggi menerusi platform TVET yang diperkenalkan.

“Menjengah ke depan pula, kerajaan berhasrat untuk membangunkan pekerja mahir di negara kita ke tahap yang lebih tinggi, supaya peratusan mereka setanding dengan negara-negara maju yang lain dengan mensasarkan sekurang-kurangnya mencapai 45 peratus pekerja mahir menjelang tahun 2030, menghampiri peratusan negara maju seperti Switzerland iaitu pada sekitar 50 peratus,” ujarnya lagi.

Pada masa yang sama, mulai sekarang sehingga tahun 2025, kerajaan sedang berusaha melatih dan meningkatkan bilangan tenaga pengajar terlatih dalam bidang TVET, dengan mensasarkan seramai 20,000 orang lagi tenaga pengajar vokasional atau Vocational Training Officer, sekali gus boleh menyumbang kepada peningkatan bilangan lulusan TVET.

Selain itu, tenaga pakar dalam bidang TVET juga akan ditambah bilangannya seramai 4,000 orang lagi dalam pelbagai bidang TVET menjelang 2025.

Dalam pada itu, Najib juga menggariskan langkah untuk memperkukuh dan memperhebatkan Kerjasama Strategik antara awam dan industri.

“Kerjasama strategik sebegini boleh direalisasikan dalam pelbagai bentuk seperti, industri menyumbang kepakaran atau mesin dan peralatan, dalam melatih tenaga kerja mahir dalam bidang-bidang tertentu yang amat diperlukan oleh pasaran industri.

“Contoh terbaik yang boleh kita saksikan adalah melalui kerjasama antara Petronas dan Institut Latihan Perindustrian atau ILP, di mana pihak Petronas telah menyumbang peralatan dan bahan latihan bagi melatih jurukimpal yang mahir sejak dari 2008 sehinggalah sekarang,” katanya. – MalaysiaGazette