Memo menggunakan kepala surat Jabatan Perdana Menteri ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad mengandungi arahaan rahsia

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad dicabar membuat laporan polis berhubung kemunculan satu dokumen yang ditandatangani beliau sendiri yang membuktikan wujudnya salah guna kuasa ketika era pemerintahannya.

Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Ramesh Rao berkata, dokumen itu mendedahkan Mahathir mengarahkan bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin membuat laporan palsu tentang kedudukan kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekitar 1999.

“Saya cabar Tun Mahathir dan Tun Daim membuat laporan polis untuk menafikan kandungan dokumen itu yang jelas menyalahgunakan kuasa mereka ketika memegang kuasa dalam Kerajaan Persekutuan.

“Jika mereka tak berani dan enggan tampil ke depan, ini bermakna mereka tiada kredibiliti dan tidak boleh dipercayai, malah rakyat perlu menolak segala dakwaan yang memburukkan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ramesh berkata demikian mengulas kewujudan dokumen rahsia itu dari Pejabat Perdana Menteri ketika era pemerintahan Mahathir kerana tergugat dengan gerakan reformasi selepas Anwar disingkirkan dari UMNO dan Kabinet.

Berikut adalah isi kandungan penuh dokumen itu diklasifikasikan sebagai memo dalaman Jabatan Perdana Menteri yang terdapat unsur salah guna kuasa jelas menunjukkan Mahathir ‘memberi arahan rahsia’ ketika menjadi Perdana Menteri.

“Saya berharap saudara (Daim) dapat usahakan tekanan terhadap Datuk Murad Khalid supaya beliau dapat membuat kenyataan palsu tentang kedudukan kewangan Anwar.

“Saya telah arahkan Peguam Negara supaya menarik balik tuduhan di atas kedudukan kewangan beliau sebanyak RM23 juta semasa menjadi Penolong Gabenor Bank Negara.

“Sila maklum kepada saya segera dan rancangan ini hendaklah dilaksanakan sebelum pembentangan Belanjawan Negara pada 29 Oktober 1999 yang saudara (Daim) akan bentang,” kata Mahathir yang dipetik daripada dokumen berkenaan.

Ramesh juga berkata, dokumen itu diperolehinya hasil sumbangan daripada seorang blogger yang mengguna pakai nama ‘Pengikut Nabi Musa Di Dalam Mahligai Maha Firaun’. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. apa pun mesti terlibat dengan najib. ni apa undang2 yang dipakai ni . nak menegak kebenaran ke nak menegak najib

Comments are closed.