Kim Jong-nam

LONDON – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang merancang pembunuhan abang tirinya mahu pembunuhan tersebut dilihat ‘mengerikan’ yang boleh ‘menakutkan dunia’ selain dapat menakut-nakutkan musuhnya, dakwa satu laporan.

Pada 13 Februari lalu, Kin Jong-nam dibunuh oleh dua wanita yang menekup mukanya dengan agen saraf VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2). Beliau berusia 45 tahun.

Kini analisis risikan Korea Selatan menyatakan pembunuhan itu dirancang dengan teliti oleh kerajaan Korea Utara selama lima tahun dan merupakan sebahagian daripada ‘perancangan utama Kim’, menurut majalah GQ.

“Daripada Jong-nam meninggalkan Macau, Korea Utara telah mengekorinya.

“Mereka mempunyai satu kumpulan dalam pesawatnya, sebaik sahaja dia tiba di lapangan terbang di Kuala Lumpur, kumpulan lain mengekorinya. Mereka terus mengintipnya walaupun dia tidur. Malah ketika Jong-nam memasuki terminal, beliau juga diekori,” kata professor Korea University, Nam Sung-wook yang menyiasat pembunuhan tersebut kepada majalah GQ.

Pada awalnya, Korea Utara dilihat cuai dalam melakukan pembunuhan itu.

Penganalisis menyatakan kedua-dua wanita yang menyerkup racun ke muka Jong-nam jelas kelihatan dalam rakaman.

Mereka juga tidak menutup muka masing-masing ketika melakukan pembunuhan dan selepas itu.

Sung-wook yang merupakan bekas anggota perkhidmatan perisik Korea Selatan berkata, berbeza dengan sentimen sebelum ini, Pyongyang mahu pembunuhan tersebut disaksikan oleh orang ramai.

“Pyongyang mahu menghantar mesej kepada dunia dengan membunuh Kim Jong-nam secara ngeri yang disaksi orang awam.

“Pyongyang mahu menakutkan dunia dengan mendedahkan senjata kimia di sebuah lapangan terbang.

“Jong-un mahu berkuasa untuk tempoh yang lama dan berunding sebagai kuasa besar.

“Hanya satu cara untuk menakutkan dunia terhadap senjatanya. Dia mempunyai rancangan yang besar dan ini merupakan sebahagian daripadanya,” kata Sung-wook.

Perbicaraan terhadap dua wanita yang didakwa melakukan pembunuhan dramatik itu dijadualkan pada 2 Oktober ini.

Pada 27 Julai lalu, warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Jong-nam merupakan anak sulung pemimpin Korea Utara, Kim Jong-il. Jong-un menjadi pemimpin negara itu pada 2011 berikutan kematian bapanya.

Para pegawai Amerika Syarikat dan Korea Selatan berkata, rejim Korea Utara berada di belakang pembunuhan Jong-nam yang tinggal dalam buangan di Macau dan mengkritik pemerintahan dinasti keluarganya di Korea Utara.

Korea Utara menolak mangsa adalah abang tiri Jong-un dan mencadangkan lelaki itu mati kerana serangan jantung. – Agensi