BANGI – Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM), Datuk Dr. Mashitah Ibrahim menggesa agar mentaliti terhadap sekolah agama ditukar.

Beliau kesal kerana majoriti sekolah agama di Malaysia dibina di harta wakaf atau bangunan lama.

“Sekolah tahfiz biasalah, biasanya harta pusaka yang tidak digunakan kemudian diwakafkan. Sebab itulah sekolah agama di bangunan lama, rumah kedai dan dalam ladang kelapa sawit.

“Bila bangunan lama, pendawaian semua sudah lama. Tak ikut spesifikasi bomba,” ujar bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Beliau berkata demikian dalam forum Tragedi Keramat: Merungkai Pertanggungjawaban di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini hari ini.

Selain itu, Mashitah juga menegur kecenderungan ibu bapa menghantar anak-anak mereka ke sekolah agama sebagai pilihan terakhir untuk membimbing anak-anak mereka.

“Kadang-kadang sekolah agama menjadi Sekolah Henry Gurney versi Islam. Bila ibu bapa dah gagal hantar sana sini tak boleh, hantar je sekolah agama.

“Kemudian cakap dengan ustaz untuk jaga mereka,” tambahnya lagi.

Beliau menyarankan agar sekolah agama mengambil langkah berjaga-jaga dengan menitik beratkan keselamatan.

Ujarnya langkah itu perlu kerana Islam juga mahu umatnya menjaga nyawa.

”Kita beritahu kalau pengendali (sekolah agama) tidak menurut arahan bomba, mungkin akan berdepan dengan tindakan ditutup tapi netizen marah, cakap tahfiz sibuk nak tutup pergilah tutup kelab-kelab malam.

“Kita tak pernah dengar sekolah agama lain terbakar kerana menurut bomba, mereka (sekolah) sangat rapat dengan bomba dan mereka panggil bomba untuk ajar anak-anak ini untuk selamatkan diri,” tambah Mashitah lagi.

Selain Mashitah, panel lain ialah Setiausaha Agong Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Dr. Ma’amor Osman, Presiden Persatuan Institusi Tahfiz Quran Selangor, Maulana Mohd. Dailana Che Age dan Pengarah Pusat Kepimpinan Wanita, Datin Dr. Norizan Abdul Razak.- MalaysiaGazette