I
ALOR SETAR – Tahap keselamatan di semua sekolah agama dan pusat tahfiz di Kedah akan dikaji semula termasuk penyelarasan kurikulum.
Pengarah Jabatan Agama Islam Kedah (JAIK), Datuk Abd Rahman Ismail berkata, satu jawatankuasa khas akan ditubuhkan pihak bagi tujuan itu tidak lama lagi berikutan insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah diKuala Lumpur yang mengorbankan seramai 23 orang pelajar dan guru terkorban baru-baru ini.
Menurut beliau, sehingga kini, sebanyak 137 sekolah agama dan pusat tahfiz di negeri itu sudah berdaftar dengan pihaknya manakala seramai 18 lagi belum didaftarkan oleh pihak pengurus institusi itu.
“Jawatankuasa itu akan ditubuhkan digerakkan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta beberapa agensi untuk menilai semula aspek keselamatan di bangunan milik sekolah terbabit sebagai mengelak sebarang insiden buruk selepas ini.
“Kerajaan negeri memandang serius perkara ini selepas berlaku kebakaran di pusat tahfiz baru-baru ini.
“JAIK sebagai pihak agama bertanggungjawab akan mengkaji semula semua sekolah agama yang didaftarkan itu dengan memasukkan syarat baru berhubung aspek keselamatan sebagai satu perkara yang wajib untuk kelulusan lesen operasi insititusi itu di masa akan datang.
“Dengan adanya syarat ketat sebegitu, JBPM harus datang ke sekolah berkenaan bagi menilai aspek peraturan keselamatan yang mereka tetapkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Sebelum itu, Abd Rahman hadir merasmikan taklimat mengenai keselamatan kebakaran kepada pentadbir sekolah agama dan maahad tahfiz negeri itu hari ini.
Dalam perkara berkaitan, beliau menambah, JAIK juga akan menggesa pentadbir pusat pengajian yang masih gagal mematuhi kriteria yang digariskan pihak berkuasa supaya memenuhi segera saranan pihak bomba.
“Namun dalam hal ini, lesen operasi pusat pengajian tersebut tidak akan ditarik. Justeru, jawatankuasa khas ini juga akan bertanggungjawab menyelaraskan semula subjek kurikulum yang diajar di semua sekolah agama dan maahad tahfiz bagi memastikan pelajarnya memiliki sijil yang diiktiraf.
“Kami mendapati hanya 18 sekolah agama dan pusat tahfiz di Kedah yang masih belum berdaftar dengan kerajaan negeri setakat ini dan kesemua sekolah ini masih beroperasi secara persendirian,” tegasnya. – MalaysiaGazette