Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar. foto HAZROL ZAINAL, 27 JULAI 2017.
KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad diberikan tempoh seminggu untuk memohon maaf dan menarik balik tuduhan kononnya hak royalti minyak Sabah dan Sarawak terhakis ketika pentadbiran Tun Abdul Razak Hussein dan anaknya, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengerusi Gerakan Akar Umbi UMNO Malaysia (GAUM), Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, sekiranya Mahathir tidak berbuat demkian, satu laporan polis akan dibuat pihaknya di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Fitnah 1957.
“Tun Mahathir secara jelas melakukan fitnah terhadap Datuk Seri Najib dan saya mencabar Tun membuktikan bentuk dan tindakan Perdana Menteri itu kononnya telah menghakis hak dan keistimewaan Sabah dan Sarawak.
“Walhal Datuk Seri Najib adalah satu-satunya Perdana Menteri yang telah mencadangkan penubuhan jawatankuasa khas mengkaji hak rakyat Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 bagi memelihara dua negeri itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahad lepas, Mahathir ketika berucap dalam program ceramah Pakatan Harapan di Kuching, Sarawak mendakwa Akta Pembangunan Petroleum 1974 diluluskan Perdana Menteri ketika itu Tun Abdul Razak Hussein.
Mahathir mendakwa, sepanjang memerintah 22 tahun, beliau tidak pernah mengubah perjanjian dengan Sabah dan Sarawak.
Zulkarnain berkata, Najib telah berjaya memberikan peluang kepada rakyat Sabah dan Sarawak menjadi Menteri Kanan Persekutuan sehingga melibatkan 11 Menteri penuh dan sembilan Timbalan Menteri yang tidak pernah berlaku pada zaman Mahathir.
“Harus diingat Akta Petroleum 1974 telah mendapat persetujuan Kabinet malah Tun Dr Mahathir telah menjadi Menteri Kabinet pada masa akta tersebut diluluskan dan tujuh tahun kemudian beliau telah menjadi Perdana Menteri.
“Kalaulah benar Akta Petroleum itu adalah satu kesilapan dan dosa besar yang telah dilakukan oleh Tun Abd Razak, kenapa selama 22 tahun Tun Mahathir menjadi Perdana Menteri, Akta tersebut tidak digubal semula?” soalnya.
Beliau berkata, Mahathir juga telah memperkenalkan dasar Kabotaj untuk Sabah dan Sarawak semasa beliau menggalas jawatan Menteri Pelaburan dan Industri serta Timbalan Perdana Menteri.
“Dasar ini diperkenalkan Mahathir pada 1980-an dengan setiap barang yang dibeli dari luar negara perlu melalui Pelabuhan Klang terlebih dahulu sebelum dihantar ke Sarawak dan Sabah.
“Dengan terlaksananya dasar ini sekaligus menjadi penyumbang utama harga barang di Sabah dan Sarawak jauh lebih mahal dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia kerana kos pengangkutan berganda,” katanya.
Katanya, sebaliknya Najib yang menghapuskan dasar Kabotaj pada 7 Mei 2017 dengan harapan barangan di Sabah dan Sarawak akan lebih murah setara dengan Semenanjung Malaysia.
“Ini tidak termasuk jasa Najib meluluskan pembinaan projek Pan Borneo yang menghubungkan Sabah dan Sarawak yang menelan belanja hampir RM29 billion.
“Tun Mahathir dilihat cuba menghalalkan cara bagi meraih sokongan dan telah cuba mengelirukan pemikiran rakyat dengan tuduhan tidak berasas tersebut,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.