Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin (tengah) mengangkat sumpah di hadapan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng (kanan) dan disaksikan oleh Penasihat Strategik, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (kiri) di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Pulau Pinang, hari ini.
KUALA LUMPUR – Penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin dilantik sebagai pegawai penerangan di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Wan Ji yang juga ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), 35, mengangkat sumpah di hadapan Ketua Menteri, Lim Guan Eng di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR), Pulau Pinang hari ini.

Pelantikan anak kelahiran Kelantan itu bagi membantu dalam usaha menjawab naratif tidak benar terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam perkara berhubung agama Islam.

Guan Eng berkata, Wan Ji akan berganding bahu dengan Penasihat Strategiknya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang juga Setiausaha Agung PKR.

“Kami sukacita dengan kehadiran Wan Ji untuk membantu menyempurnakan dasar kerajaan,” kata Guan Eng dalam sidang media di pejabatnya, hari ini.

Wan Ji dalam ucapannya berkata, ajaran al-Quran mengenai tadbir urus yang baik akan menjadi panduan dalam melaksanakan tugas.

“Keperluan asas tadbir urus yang baik ialah melakukan kebaikan untuk rakyat. Pulau Pinang sudah banyak melakukan kebaikan untuk masyarakat Islam.

“Saya akan menjawab propaganda seteru politik yang mendakwa sebaliknya,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin pula berkata, Wan Ji akan memainkan peranan penting menjelaskan dasar-dasar kerajaan negeri berkaitan Islam kepada masyarakat Melayu Pulau Pinang.

“Dengan kemahiran beliau berucap dan menulis, beliau akan menjawab naratif tidak benar dari pihak ‘sebelah sana’.

“Beliau juga akan memainkan peranan penting memaklumkan masyarakat mengenai usaha kerajaan negeri membangunkan Islam di negeri ini,” katanya.

Wan Ji merupakan lulusan Universiti Al-Azhar di Ijazah Sarjana dalam Syariah Islammiyah dan Doktor Falsafah (phD) Kesusasteran di Universiti Malaysia Kelantan (UMK). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast