KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memuji usaha Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDAdi dalam pembangunan negara terutamanya dengan membawa pelbagai pelabur asing untuk menanam modal serta membangunkan ekonomi Malaysia dengan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Katanya, sejak tahun 1980 sehingga Jun 2017, MIDA telah meluluskan sebanyak 29,290 projek pengeluaran bernilai RM1.08 trilion yang turut menyediakan lebih 3 juta pekerjaan baharu.

Ini sekaligus meningkatkan standard kehidupan rakyat serta kemahiran mereka.

“Sebagai pencipta utama teknologi baharu dan terkini, syarikat-syarikat multinasional ini turut menyediakan akses pemindahan teknologi dan perkongsian ilmu dengan syarikat tempatan menerusi usahsama, pelesenan, kontrak pengurusan dan teknikal dan sub-kontrak antarabangsa,” katanya semasa menyampaikan ucapan di Majlis Makan Malam Gala MIDA sempena sambutan 50 tahun agensi tersebut di sini malam tadi.

Tambah Najib, beliau yakin MIDA akan meneruskan kecemerlangan yang telah dicipta selama ini terutama dalam memacu kemajuan negara yang kini melalui fasa pembangunan baharu yang mengutamakan teknolohi teknologi tinggi serta bernilai tambah tinggi dan perniagaan berintensif modal teroka. -MalaysiaGazette