Home Nasional RCI dipersoal tidak panggil Tun Abdullah

RCI dipersoal tidak panggil Tun Abdullah

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) mengenai kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dalam dagangan mata wang asing (forex) didakwa masih tidak menjawab beberapa persoalan yang dibangkitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu pendengaran tempoh hari.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, antara persoalan tersebut ialah tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi melantik Tan Sri Nor Mohamed Yakcop sebagai Menteri Kewangan
“Datuk Seri Anwar telah meminta Tan Sri Nor Mohamed Yakcop meletak jawatan. Jika tidak, beliau akan dipecat kerana bertanggungjawab di atas kerugian puluhan bilion ringgit.
“Siapa yang menerima manfaat daripada pelantikan ini? Yang paling menghairankan, RCI langsung tidak memanggil Tun Abdullah atau bertanya tentang isu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Wan Azizah juga mempersoalkan tindakan RCI yang tidak memanggil Perdana Menteri dan Menteri Kewangan untuk menyiasat dan mengambil keterangan tentang kejadian itu.
“Datuk Seri Anwar ada menyebut di Parlimen pada April 2012, bahawa Kementerian Kewangan telah menjelaskan bahawa kerugian forex antara 1992 hingga 1993 adalah RM5.7 bilion.
“Tetapi mengapa Perdana Menteri, Menteri Kewangan pada ketika itu tidak disoal dalam RCI ini?” soalnya.
Wan Azizah juga mempersoalkan RCI membiarkan ia menjadi gelanggang untuk menyerang musuh politik sedangkan Anwar telah diberi peringatan mengenainya sebelum memberi keterangan.
“Datuk Seri Anwar juga ada menyebut, jangan jadikan RCI ‘sarkis politik’ untuk mengecam sesiapa selepas 27 tahun telah berlalu, walhal soalan penting tidak dijawab.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga mempersoalkan pendengaran awam itu masih tidak menjawab surat Ketua Audit Negara sebelum akaun BNM diaudit.
“Walhal kerajaan ketika itu perlu memaklumkan laporan audit yang disahkan BNM dan Ketua Audit Negara. Mengapa?
“Saya berharap bahawa pihak berwajib akan menjawab isu-isu yang saya timbulkan, demi ketelusan, kebenaran dan keadilan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.