Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi Yang Di Pertua Dewan Negara, Tan Sri SA. Vigneswaran (kiri) menyampaikan pingat kepada 50 tahun penubuhan Agensi Pencegahan Rasuah kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Dzulkifli Ahmad (dua kanan) pada Majlis Sambutan Ulangtahun ke-50 penubuhan Agensi Pencegahan Rasuah Malaysia dan Perasmian Bangunan baharu SPRM di kompleks baharu Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. foto SAFWAN MANSOR, 01 OKTOBER 2017.

PUTRAJAYA – Kerajaan mengumumkan peruntukan segera RM5 juta kepada Yayasan Prihatin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilancar hari sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan agensi anggota agensi tersebut.

Pemberian peruntukan tersebut diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkannya sebagai tanda sokongan dan penghargaan kerajaan ke atas usaha dan kerja keras SPRM dalam usaha memerangi gejala rasuah di Malaysia.

“Sebagai sokongan saya kepada SPRM, bagi pihak kerajaan maka sukacita saya umumkan peruntukan segera sebanyak RM5 juta untuk Yayasan Prihatin SPRM.

“Ia bagi memastikan ia supaya lebih lancar lagi dan jaga kebajikan anggota kita… SPRM ini saya tahu mereka memang bekerja keras siang malam, tak kira waktu, jadi kita mesti tunjuk sokongan moral kita kepada kebajikan anggota SPRM,” kata beliau semasa ucapan sempena bangunan baharu SPRM di Putrajaya hari ini.

Najib berharap dengan sumbangan tersebut ia akan menaikkan semangat anggota SPRM dalam usaha membendung rasuah dikalangan rakyat Malaysia.

“Mudah-mudahan ia akan naikkan semangat lagi, terus berjuang habis-habisan kerana hal ini memanglah merupakan satu ancaman kepada negara, ketamadunan kita, masyarakat dan kepada masa depan negara kita,” ujarnya.

Menurut Najib, hanya tanpa rasuah sesebuab negara itu akan maju dan dihormati oleh masyarakat.

“Bila kita dapat membendung dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa, Insyaallah negara lebih maju, berjaya, disanjung tinggi dan lebih dihormati,” ujarnya.

Terdahulu, Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, penubuhan yayasan itu bertujuan membantu menampung kekurangan keperluan dan kewangan warga kerja SPRM.

“Yayasan Prihatin ini adalah merupakan sebuah yayasan yang ditubuhkan semata-mata berteraskan kebajikan untuk membantu menampung kekurangan keperluan dan kewangan warga SPRM serta ahli-ahli keluarga mereka.

“Di samping itu, yayasan ini juga akan turut disalurkan kepada golongan rakyat yang memerlukan bantuan dari sudut kewangan dan sebagainya melalui program-program SPRM bersama masyarakat,” katanya.

Jelas Dzulkifli, semua pihak dialu-alukan untuk memberi sumbangan kepada yayasan bagi menjayakan matlamat penubuhannya dalam menjaga kebajikan warga kerja dan juga masyarakat.

“Sesiapa sahaja boleh menyumbang kepada Yayasan Prihatin SPRM bagi menyokong matlamat penubuhan yayasan ini dan segala bentuk sumbangan akan direkodkan bagi memastikan ketelusan dan pengurusannya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast