Fadillah Yusof

ALOR GAJAH – Kementerian Kerja Raya mengenal pasti sebanyak 21 jambatan di seluruh negara berada di dalam keadaan usang, berisiko tinggi dan perlu diganti baharu dengan kos anggaran RM88 juta.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata daripada jumlah berkenaan sebanyak lima jambatan terpaksa ditutup secara berperingkat sejak lebih sebulan lalu iaitu empat di Selangor dan satu di Perak.

“Kebanyakan jambatan tersebut dianggap uzur kerana digunakan sejak 1950-an malah ia menjadi berbahaya kerana sering digunakan kenderaan perdagangan khususnya yang menghubungkan jalan utama ke Pelabuhan Klang di Selangor.

“Kesemua jambatan ini berkemungkinan berlaku retakan atau runtuhan… untuk itu sama ada membina jambatan baharu atau menaik taraf jambatan tersebut supaya ia selamat digunakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Inovasi Jabatan Kerja Raya (JKR) peringkat kebangsaan 2017 dan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia Datuk Seri Dr Roslan Md Taha dan Pengarah JKR Melaka Zulkifly A. Ghani.

Empat lokasi jambatan yang telah ditutup di Selangor iaitu Jambatan Buloh Kuala Selangor, Jambatan Sungai Rambai Kecil, Jambatan Sungai Rambai Besar, Jambatan Sungai Michu dan satu jambatan di Perak iaitu Jambatan Sultan Yusof di Teluk Intan.

Dalam pada itu beliau berkata dua projek persimpangan bertingkat di Melaka iaitu di Ayer Keroh dan Peringgit yang menelan kos kira-kira RM286 juta sepatutnya dijadualkan siap sepenuhnya pada Jun tahun depan.

“Masalah baharu yang timbul di projek persimpangan Peringgit iaitu kekhilafan syarikat pemaju meneliti jumlah sebenar utiliti menyebabkan projek berkenaan terjejas sehingga tempoh pelaksanaannya dilanjutkan.

Katanya, status projek tersebut kini 51 peratus berbanding sasaran sepatutnya 69 peratus.

Sementara itu, Fadillah berharap kerajaan Persekutuan dapat mengutamakan peruntukan terhadap pembangunan jalan raya dan infrastruktur pada pembentangan Bajet 2018 yang bakal diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 27 Okt ini.

— BERNAMA