KUALA LUMPUR – AirAsia Bhd. mengadakan promosi akhir tahun dengan menawarkan penerbangan serendah RM39 bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang, Sihanoukville, Luang Prabang, Pattaya, Shantao, Boracay dan Visakhapatnam.

Dalam kenyataannya hari ini, AirAsia berkata, penumpang dari Kuching ke Langkawi dan Pontianak juga dapat menikmati tambang promosi serendah RM79, dan daripada RM169 bagi penerbangan dari Johor Bahru ke Macau dan Kolkata.

Penumpang AirAsia X (kod penerbangan D7) bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth, Taipei, Shanghai dan lebih 120 destinasi lain di Asia, New Zealand, Asia Barat dan Amerika Syarikat ditawarkan tambang bermula dari RM279.

Promosi turut merangkumi tempat duduk AirAsia X Premium Flatbed, dengan tambang bermula dari RM699 bagi penerbangan dari Kuala Lumpur ke Perth, Taipei dan beberapa destinasi lain.

Tempahan tiket promosi mega hujung tahun itu bermula hari ini hingga 15 Oktober bagi perjalanan dari 2 Oktober hingga 31 Mac 2018 yang boleh didapati secara dalam talian di airasia.com dan aplikasi mudah alih AirAsia.

Pelanggan juga boleh memilih Pek Nilai yang menawarkan 20 kilogram bagasi berdaftar, hidangan percuma, pilihan tempat duduk biasa, serta insurans perlindungan perjalanan yang merangkumi Jaminan 1 Jam Tepat Masa dan Kelewatan Bagasi.

Penumpang terbang dengan anak-anak juga boleh membuat pra-tempahan bagi hidangan baharu edisi terhad Ejen Ali Lil’ Star Combo dengan hanya RM10 untuk kod penerbangan AK dan RM15 bagi penerbangan AirAsia X kod penerbangan D7 di airasia.com.- MalaysiaGazette