KUALA LUMPUR – Lagu Aku Bukan Dewa yang mengangkat genre muzik progresif pop rock merupakan single kedua Hazama untuk tahun ini.

Selepas Aku Yang Sebenar yang dilancarkan pada bulan April lalu, ia turut mendapat sentuhan dari Ad Samad selaku penulis lirik dan Taja (Meet Uncle Hussein) manakala Hazama pula bertindak sebagai komposer.

Istimewanya lagi, Hazama turut bekerjasama dengan penyanyi rap tersohor tanah air, Altimet dalam menjayakan single itu.

Buah tangan terbaharu daripada Hazama ini diterbitkan sepenuhnya oleh Rocketfuel Entertainment Sdn. Bhd. dan akan mula menemui peminat menerusi corong-corong stesen radio tempatan sejak 29 September lalu.

“Saya sangat teruja kerana sekali lagi berpeluang untuk bekerjasama dengan nama-nama hebat di sebalik tabir penghasilan ‘Aku Bukan Dewa’ ini.

“Segah tajuk yang diberi, karya ini sekali lagi mempamerkan kehebatan Ad Samad dalam menghasilkan sebuah lirik yang cukup bermakna dan memiliki maksud yang begitu mendalam, diulit pula dengan keindahan muzik hasil sentuhan komposer terkenal Taja, dan pada masa yang sama rakan baik saya sendiri, Altimet, hadir menyumbangkan gegaran rap kreatif beliau bagi melengkapkan nukilan ini.

“Hasilnya, sempurnalah ‘Aku Bukan Dewa’, istimewa untuk peminat-peminat saya di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Hazama, lagu Aku Bukan Dewa sangat dekat dengannya kerana ia menceritakan tentang semangat juangnya dalam industri muzik.
“Menariknya lagi, pendekatan genre muzik yang saya ambil pada kali ini iaitu progresif pop rock, berlainan dari konsep pop balada yang saya bawa selama ini.

“Saya ingin lari dari ruangan selesa saya dan menampilkan kelainan dengan tampil menyampaikan lagu rancak. Ini sebenarnya adalah jiwa saya dan pada kali ini, saya akan membawa peminat menyelami aliran sebenar muzik, dalam dunia saya,” ujarnya.
Lagu Aku Bukan Dewa sebuah lagu yang berentak rancak tetapi sebagai seorang penyanyi, Hazama tampil versatil dan terus berkarya dalam industri untuk kekal relevan.

“Saya ingin terus menghiburkan peminat yang sentiasa setia berada di belakang saya. Saya berharap, peminat saya mampu menerima kelainan ini dengan hati terbuka dan semoga terhibur dengan lagu ini,” ujarnya.- MalaysiaGazette