Peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili suspek wanita kes pembunuhan Kim Chol atau Kim Jong-Nam ditemui pemberita di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam

SHAH ALAM – Barisan peguambela dua suspek wanita kes pembunuhan Kim Chol atau Kim Jong-Nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un hari ini gagal mendesak pihak pendakwaan untuk mendedahkan identiti empat suspek lain yang masih bebas.

Peguam, Hisyam Teh Poh Teik dan Datuk Naran Singh yang mewakili  Doan Thi Huong, 28, dari Vietnam berkata, pihak pendakwaan perlu mendedahkan butiran lengkap keempat-empat suspek lain dan ia masih relevan dalam perbicaraan ini.

“Kami membantah dan ia bagus untuk buat rayuan, kami tidak akan berdiam diri, kami tetap dengan satu pendirian (tidak bersalah) dan tidak adil pendakwaan tidak mendedahkan (empat suspek lain), tidak perlu disembunyikan.

“Empat suspek lain ini adalah relevan dan ia mesti didedahkan kepada pembelaan kerana hari ini merupakan perbicaraan pertama dan sebelum ini pun kita meminta mereka butiran itu termasuk di Mahkamah Sepang

“Isu ini dibangkitkan oleh kami tapi mereka tetap enggan mendedahkan butiran empt suspek itu. Kita tidak faham kenapa nak sembunyikan butiran itu,” katanya ketika ditemui pemberita, di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam  hari ini.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik (kanan) serta Datuk Naran Singh (tengah) mewakili Doan Thi Huong, 28, dari Vietnam dalam perbicaraan hari pertama kes pembunuhan Kim Chol atau Kim Jong-Nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Azmi Ariffin menolak permohonan mereka termasuk peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah, 25, supaya pihak pendakwaan menyatakan nama empat orang lagi itu.

Hakim Azmi berkata, pertuduhan itu tidak cacat sungguh pun dengan tidak memasukkan nama empat orang lagi dan tidak berlaku sebarang ketidakadilan kepada kedua-dua tertuduh dengan ketiadaan empat nama itu.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin pula berkata masih terlalu awal pembelaan memohon empat nama suspek lain kerana pendakwaan akan mendedahkan keempat-empat nama mereka semasa prosiding perbicaraan. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast