Petronas

KUALA LUMPUR – Petronas Chemical Bhd. melupuskan 50 peratus pegangan dalam anak syarikatnya, PRPC Polymers Sdn. Bhd. kepada Saudi Arabian Oil Company (Saudi Aramco) pada harga AS$900 juta atau RM3.8 bilion.

Dalam kenyataanya, Petronas Chemical berkata, perjanjian yang dimeterai bersama anak syarikat Aramco, Aramco Overseas Holdings Cooperatief U.A (AOHC) dibuat pada Jumaat lalu.

Aktiviti utama PRPC Polymers adalah untuk membangun, membina, memulakan dan mengendalikan kilang polimer dan glikol bagi pengeluaran serta penjualan produk.

Bagaimanapun syarikat tersebut tidak menjana sebarang pendapatan dan mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM57 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2016.

Ia memiliki aset bernilai RM1.3 bilion.

“Petronas Chemical akan berkongsi projek dan risiko operasi dengan Saudi Aramco selepas melepaskan 50 peratus kepentingan ekuiti dan 50 peratus lagi pinjaman pemegag saham dalam PRPC Polymers kepada AOHC,” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, Petronas Chemicals akan mempunyai aliran tunai positif dengan mengurangkan komitmen perbelanjaan modal selepas Aramco mengambil alih 50 peratus kepentingan tersebut.-MalaysiaGazette