CANBERRA – Lebih 1,000 hari dihabiskan untuk mencari pesawat MH370 yang hilang dan usaha itu tidak berjaya, namun pihak berkuasa berkata, mereka kini lebih memahami di mana pesawat itu mungkin berada.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) hari ini menerbitkan laporan akhir pencarian itu setebal 440 muka surat, bermula pessawat milik Malaysia Airlines itu hilang pada 8 Mac 2014 hingga pencariannya digantung pada Januari lalu.
“Kami kecewa kami tidak dapat mencari pesawat ini, juga tidak (dapat mencari) 239 nyawa yang menaiki pesawat yang kekal hilang,” kata laporan itu seperti dipetik News.com.au.
Ia merupakan pencarian terbesar dalam industri penerbangan, meliputi beberapa juta kilometer persegi di permukaan dan dasar lautan.
“Walaupun usaha luar biasa yang membabitkan beratus orang di seluruh dunia dalam pencarian ini, pesawat tersebut tidak ditemui.
“Adalah diakui bahawa ia ‘hampir tidak dapat difahami dan tentunya tidak dapat diterima secara sosial’ pada era yang mana 10 juta penumpang terbang setiap hari dengan kehilangan sebuah pesawat komersial yang besar.
“Dan untuk dunia tahu dengan pasti apa yang terjadi pada pesawat dan orang-orang yang ada didalamnya,” kata laporan itu.
Bagaimanapun, ATSB berkata, dengan mengeluarkan kebanyakan kawasan keberangkalian tinggi lokasi pesawat, kajian baharu yang dilakukan dalam tempoh 12 bulan telah mengenalpasti kawasan pesawat itu berada dengan lebih tepat.
Analisis yang dilakukan semula terhadap imej satelit yang ambil pada 2014 menunjukkan kumunkinan pesawat MH370 tersebut berada pada kawasan berkeluasan kurang 25,000 kilometer persegi.
“Pemahaman di mana pesawat MH370 mungkin berada kini lebih baik berbanding sebelum ini,” katanya.
Kerajaan Malaysia masih meneruskan penyiasatan beradaskan fakta dan keadaan sekeliling ketika pesawat MH370 hilang, menurut laporan itu.
Bagaimanapun, ia mengakui punca kehilangannya tidak boleh diputuskan dengan jelas sehingga pesawat terbabit ditemui.
ATSB berkata, terdapat pengajaran penting yang boleh diambil daripada pencarian pesawat hilang di kawasan lautan dalam, iaitu dengan menambahbaik keperluan dan sistem pengesan pesawat.
“Langkah sedang diambil bagi meningkatkan sistem pesawat termasuk transponder pengesan kecemasan dan isyarat pengesan perakam penerbangan,” katanya.
Ketua Pesuruhjaya ATSB, Greg Hood memuji komitmen dan profesionalisme mereka yang terlibat dalam pencarian itu.
“Ia adalah usaha yang belum pernah berlaku sebelum ini dan terdapat maklum balas yang luar biasa daripada komuniti global,” katanya dalam satu kenyataan. – Agensi