Tun Dr. Mahathir Mohamad

KUALA LUMPUR – Pas hanya parti pengacau yang melemahkan orang Islam, kata Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri itu berkata, rekod Pas tidak menunjuk apa-apa sumbangan kepada orang Melayu dan agama Islam.

“Tidak ada sesiapa yang boleh nafikan bahawa sebelum ada Pas orang Melayu yang semuanya beragama Islam dari Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah yang berimam dengan Imam Shafie tidak berpecah dan berpuak-puak kerana tidak ada kelainan fahaman Islam antara mereka.

“Hanya apabila Pas ditubuh maka orang Melayu berpecah dan bermusuh sesama sendiri. Ini adalah kerana dakwaan Pas kononnya orang UMNO kafir,” katanya dalam blognya hari ini.

Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia juga mendakwa ramai ahli Pas sanggup bertindak mengkafirkan ibu bapa sendiri dan mendakwa perkahwinan mereka tidak sah.

“Mereka seolah-olah tidak sedar bahawa dakwaan ini menjadikan mereka sendiri anak di luar nikah. Saya tidak nak sebut apakah nama yang kita beri kepada orang yang dilahir di luar nikah.

“Kononnya untuk menghalalkan perkahwinan, orang yang kahwin sebelum adanya Pas, perlu kahwin sekali lagi. Dan ini memang berlaku,” katanya.

Menurut Mahathir, perpecahan politik telah dijadikan perpecahan agama antara orang Melayu Islam Malaysia.

“Sebahagian besar orang Islam di Malaysia masih dianggap sebagai kafir oleh fanatik Pas,” katanya.

Menurut Mahathir, dalam PRU-14 ini, Pas akan bertindak sebagai pihak yang memenangkan pihak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Pas akan mengumpan sebahagian dari pengundi anti-kerajaan BN sehingga akan kuranglah undi kepada PH. Bahawa Pas juga akan kalah tidak mengapa. Kerana hasrat Pas ialah supaya Najib dapat kemenangan. Kenapakah PAS berbuat demikian?

“Apakah dedak memainkan peranan? Wallahu Wa’alam,” ujarnya.

Pas tidak akan menjadi kerajaaan sebaliknya Pas tetap mengurangkan jumlah orang Islam dalam parti pemerintah.

Selain itu, beliau juga mendakwa kemenangan Pas di Kelantan hanya membawa nasib buruk kepada negeri itu. – MalaysiaGazette

Comments are closed.