Rahmad Isahak.

PULAU PINANG – Pemimpin kanan pembangkang Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang didesak menjawab tuduhan berhubung sogokan RM1 bilion seperti didedahkan blogger Raja Petra Kamaruddin.

Naib Presiden Parti Alternatif Rakyat (PAP), Rahmad Isahak berkata, tuduhan itu terlalu berat dan mengejutkan rakyat sekali gus memerlukan kedua-dua pemimpin berkenaan membersihkan maruah mereka.

Menurut beliau, sekiranya dakwaan Raja Petra itu benar, ia secara tidak langsung menunjukkan kuasa memerintah negara ini sekiranya pembangkang berkuasa akan diterajui golongan minoriti iaitu DAP.

Sehubungan itu, ujarnya, Kit Siang tiada pilihan selain perlu bertanggungjawab serta berani tampil menafikan tuduhan berkenaan bagi mempertahankan imej serta maruah karier politik beliau serta parti DAP yang diterajuinya selama lebih 51 tahun.

“Kegagalan berbuat demikian bakal mendatangkan tanggapan negatif serta hilang sokongan serta kepercayaan bukan sahaja dalam kalangan pengundi mahupun penyokong.

“Malah beliau dan legasinya berkemungkinan ditolak perwakilan DAP pada pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Raja Petra menerusi potral Malaysia Today Sabtu lalu mendakwa Dr. Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Melayu (PPBM) memberi Kit Siang RM1 bilion bagi membolehkan beliau menjadi Pengerusi Pakatan Harapan.

Perjanjian bayaran itu didakwa meliputi beberapa per­kara lain termasuk Kit Si­ang tidak akan mendedahkan skandal forex Bank Negara Malaysia (BNM) dan memberikan kerusi Parlimen selamat untuk anak Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhriz bertanding pada pilihan raya umum akan datang.

Menurut Rahmad yang juga bekas ahli DAP, selain tampil menafikan dakwaan itu, Kit Siang juga perlu berani membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang sekiranya benar difitnah Raja Petra.

Keputusan itu, ujar beliau, bagi membuktikan beliau dan Dr. Mahathir berada di pihak benar sekali gus tidak memperdaya rakyat khususnya penyokong pembangkang.  – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.