Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar (tiga kiri) melihat kawasan persekitaran pangsapuri ketika membuat lawatan kerja ke Pangsapuri Taman Puchong Permai di Puchong, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 05 OKTOBER 2017

PUCHONG – Barisan Nasional (BN) Selangor bakal memperkenalkan manisfesto parti itu yang mengutamakan rakyat di bandar khususnya dalam menangani isu kemiskinan dalam bandar.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar berkata, ini tidak bermakna parti itu meminggirkan rakyat di pinggir dan luar bandar kerana mereka yang tinggal di bandar tidak mendapat pembelaan khususnya di bawah Pakatan Harapan.

“Di Selangor, kita juga sedang merancang manifesto khusus untuk memberikan pembelaan kepada rakyat bandar. Kita lihat dalam manifesto (BN) dan bajet kerajaan, ada sebut luar bandar, di mana kita tak nafikan

“Kita nak kerajaan terus memberikan pembelaan di luar bandar, tapi dalam bandar ini, saya lihat hanya satu kementerian saja nak berikan pembelaan, sedangkan rakyat kita hampir 70 peratus tinggal dalam kawasan bandar,” katanya pada sidang media dalam lawatan kerjanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Serdang, di sini, hari ini.

Noh juga berkata, manifesto BN Selangor juga lebih tertumpu dan memberi keutamaan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh rakyat yang menghuni perumahan kos rendah khususnya pangsapuri.

“Kalau di luar bandar, kalau pendapatan dalam RM3,000 boleh dianggap hidup lebih baik berbanding di bandar berpendapatan RM4,000 kerana kos sara hidup itu berbeza.

“Kita akan beri keutamaan kepada penduduk kos rendah khususnya yang duduk di pangsapuri,” jelasnya.

Sementara itu, dalam lawatan kerjanya di pangsapuri Taman Puchong Permai hari ini juga, Noh telah meluluskan peruntukan sehingga RM7.1 juta kepada penduduk kawasan terbabit.

“Daripada permohonan yang saya terima lebih RM30 juta, melihat kepada keutamaan yang mendesak dalam soal keselamatan penduduk, saya hanya luluskan RM7.1 juta untuk membaik pulih lif dan menggantikan hand railing.

“Memandangkan pangsapuri ini sudah lebih 20 tahun usianya, ada kes di mana budak terjatuh disebabkan hand rail patah akibat reput dan ini soal keselamatan yang tidak boleh kita pandang remeh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast