PUTRAJAYA – Penganjuran program Tilawah al-Quran perlu dimanfaatkan secara berkesan dari sudut kefahaman tajwid dan juga taranum.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tilawah al-Quran juga membolehkan umat Islam menghayati dan memahani isi kandungan kitab suci dengan jelas bagi mengelak perpecahan dan ketidakharmonian dalam masyarakat.

“Umat Islam perlu menghayati al-Quran dan sudah tentu orang Islam terutama masyarakat Melayu di negara ini mendapat kebaikan dalam konteks perpaduan dan dapat mengelak ancaman musuh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Tilawah al-Quran Peladang peringkat Kebangsaan kali ke-5 di Wisma Tani di sini hari ini.

Seramai 26 orang qari dan qariah yang merupakan ahli Peladang bertanding mewakili negeri masing-masing pada majlis tilawah tersebut yang bertemakan “Memartabat Al-Quran, Memimpin Keharmonian”.

Johan bagi pertandingan itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 berserta hadiah pakej umrah serta iringan manakala, naib johan menerima wang tunai RM8,000 dan tempat ketiga membawa pulang wang tunai RM5,000 berserta hadiah iringan masing-masing.

Hadir sama pada majlis itu Pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), Datuk Seri Saipolbahari Suib.

Dalam pada itu berkata, program Tilawah al-Quran bukan setakat memperdengarkan ayat-ayat suci al-Quran, sebaliknya penganjurannya di peringkat agensi, kebangsaan, negeri, dan antarabangsa perlu dilihat secara menyeluruh bagi memastikan mesej daripada kitab suci itu dapat disampaikan dengan baik kepada masyarakat. – MalaysiaGazette