KOTA BHARU – Kegembiraan enam sahabat untuk berehat sambil menikmati nasi bungkus di tebing Sungai Pengkalan Datu, Panchor, dekat Pengkalan Chepa, tengah tadi berakhir dengan tragedi.
Seorang dari mereka, yang turun ke sungai untuk mandi tiba-tiba lemas dan sempat menjerit minta tolong.
Lima sahabat yang berada di tebing cuba membantu, tetapi mangsa, Mohammad Alif Zainuddin, 14, dikatakan dibawa arus sehingga ke tengah sungai dalam keadaan tenggelam timbul.
Menurut seorang daripada sahabat mangsa, Che Muhammad Khairy Che Ismail, 14, ketika kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mereka berenam baru selesai membeli nasi bungkus di sebuah warung di situ dan berhajat untuk makan bersama di tebing sungai.
Katanya, sebaik selesai makan, beliau bersama lima rakan termasuk mangsa berehat sambil berbual pasal aktiviti harian.
“Bagaimanapun, Mohammad Alif beritahu mahu mandi, dan dia turun ke sungai yang ketika paras pinggang.
“Saya bersama yang lain tidak turut serta untuk mandi dan biarkan dia seorang diri bermain air,” katanya ketika ditemui media di Jabatan Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di Kota Bharu.
Menurut Muhammad Khairy, kejadian berlaku dengan pantas dan mereka tidak dapat menyelamatkan sahabatnya itu kerana turut lemas, tetapi dapat menyelamatkan diri.
“Ketika dia menjerit minta tolong, dia sudah berada di tengah sungai dalam keadaan tenggelam timbul. Kami juga hampir lemas,” ujarnya yang terus menghubungi Balai Bomba dan Penyelamat untuk memaklumkan kejadian itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidek mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan jenazah mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HRPZ II untuk bedah siasat. – MalaysiaGazette