KUALA LUMPUR – Allianz Life Insurance Malaysia Bhd. (Allianz Malaysia) menawarkan Allianz 3H Cover kepada pelanggan yang menghadapi ‘3 Tahap Tinggi’ iaitu kolestrol tinggi, darah tinggi dan Indeks Jisim Badan (BMI) berlebihan.

Menurut kenyataan Allianz, mereka yang mempunyai ‘3 Tahap Tinggi’ boleh mendapatkan pelan perlindungan sehingga berumur 85 tahun bagi empat penyakit kritikal (serangan jantung, strok, kanser dan kegagalan buah pinggang), kematian serta hilang keupayaan kekal dan menyeluruh (TPD) sebelum umur 65 tahun apabila memiliki pelindungan Allianz 3H Cover dan ridet Critical Cover.

Sebelum ini, mereka yang mempunyai penyakit-penyakit ini akan ditolak secara langsung oleh penanggung insurans.

“Sehingga kini, bukan mudah untuk mendapatkan perlindungan insurans sekiranya anda mempunyai keadaan yang sedia ada seperti ‘3 Tahap Tinggi’.

“Terdapat peluang yang mana anda akan ditolak secara langsung oleh penanggung insurans. Masalahnya amat jelas dan itulah sebabnya kami mengeluarkan Allianz 3H Cover,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Allianz, Joseph Gross.

Dengan mengambil kira BMI sebagai salah satu daripada ‘3 Tahap Tinggi’, Allianz 3H Cover bukan sahaja menggalakkan kesihatan yang baik tetapi juga kesihatan dan kesejahteraan keseluruhan.

“Kami ingin memberi warga Malaysia di luar sana peluang kedua dalam kehidupan mereka dan lebih penting lagi, perlindungan yang sewajarnya.

“Sebagai syarikat insurans, perlindungan adalah perniagaan kami tetapi kami juga ingin meningkatkan kualiti hidup anda. Di Allianz Malaysia, kami ingin membina rangkaian kesihatan yang mengubah kehidupan dan pemikiran orang ramai ke arah meningkatkan kesihatan mereka,” tambah Joseph.

Sebagai insentif tambahan, Allianz 3H Cover turut menawarkan Perlindungan Tambahan Percuma yang mana para pelanggan akan menerima peningkatan sebanyak 50 peratus untuk kematian dan perlindungan TPD serta peluang untuk menaik taraf pelan penyakit kritikal mereka kepada pelan 36 penyakit kritikal yang menyeluruh dan komprehensif sekiranya ‘3 Tahap Tinggi’ mereka kembali normal.

Allianz Malaysia turut bekerjasama dengan Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur, Columbia Asia, Pantai Hospital, Gleneagles Hospitals dan Nestle Omega Plus dalam membina ekosistem yang melindungi, mendidik dan memelihara rakyat Malaysia.

Hospital-hospital ini akan mengadakan ceramah kesihatan mengenai pelbagai topik kesihatan yang sering dihadapi oleh orang Malaysia.

“Kami mahu orang di luar sana mengetahui bahawa sebagai sebahagian daripada ekosistem ini adalah sama dengan berjanji dengan diri mereka sendiri dan keluarga mereka bahawa mereka tidak akan membiarkan penyakit menguasai hidup mereka.

“Mereka mungkin menghadapi masalah dalam mengubah diet atau gaya hidup mereka tetapi perubahan tidak berlaku dalam masa yang singkat.

“Perubahan adalah komitmen yang berkembang dari semasa ke semasa dan kami di Allianz akan memulakan perjalanan bersama anda,” katanya. – MalaysiaGazette