Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah (tengah) menunjukkan jongkong emas yang berjaya ditemui semula polis dipercayai dirompak dalam kejadian samun di sebuah kilang emas di Butterworth, Pulau Pinang pada 25 September lalu.

PULAU PINANG – Polis negeri ini sedang memburu lelaki berusia 20-an yang dikenali dengan gelaran `Budak’ kerana dipercayai menjadi dalang utama dalam kejadian rompakan di sebuah kilang emas di Taman Siram, Butterworth, 25 September lalu.

Ketua Bahagian Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, lelaki India itu diburu bersama dua lagi suspek utama yang masih bebas dalam rompakan jongkong emas dan barang kemas membabitkan kerugian RM1.9 juta tersebut.

Menurut beliau, suspek yang digelar `Budak’ itu juga dipercayai tercedera terkena tembakan yang dilepaskan pengawal keselamatan kilang emas berkenaan ketika kejadian.

“Sehubungan itu, kita menggesa mana-mana hospital atau klinik kesihatan yang pernah merawat lelaki India dengan kesan luka tembakan supaya segera menghubungi polis bagi membantu siasatan kes ini,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zainol berkata, polis sehingga kini menahan seramai 11 individu termasuk tiga wanita berusia lingkungan 26 hingga 45 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.

Menurut beliau, antara yang ditahan termasuk dua individu Cina dipercayai pembeli barang kemas dan jongkong emas terbabit serta seorang individu yang mempunyai dua rekod jenayah berhubung pergaduhan dan disiasat di bawah Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan.

“Kesemua mereka ditahan secara berasingan di Johor, Selangor dan Negeri Sembilan dan kita turut berjaya menemui semula sebahagian barang kemas dan jongkong emas yang disamun.

“Siasatan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi 25 September lalu, empat lelaki bersenjatakan tukul dan kapak merompak dua pekerja kilang emas berkenaan ketika sedang memindahkan jongkong emas dan barang kemas dari kilang terbabit ke dalam sebuah van.

Suspek kemudiannya melarikan diri menaiki sebuah kereta Perodua Bezza yang kemudiannya ditemui ditinggalkan dalam keadaan remuk dipercayai terlanggar lori kira-kira lima kilometer dari kilang emas berkenaan. – MalaysiaGazette