KUALA LUMPUR – Eksport Malaysia berkembang 21.5 peratus setahun kepada RM82.2 bilion pada Ogos didorong oleh jualan lebih tinggi barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan eksport gas asli cecair (LNG) yang melonjak 101.8 peratus.

Jabatan Statistik dalam kenyataannya berkata, eksport produk E&E meningkat 20.1 peratus kepada RM31 bilion.

Urusniaga berasaskan E&E mewakili peratusan terbesar keseluruhan eksport sebanyak 37.8 peratus.

“LNG meningkat RM2 bilion atau 101.8 peratus kepada RM4 bilion disokong oleh pengkuhan jumlah eksport.

“Produk-produk petroleum disaring, turut mengalami peningkatan sebanyak RM1.1 bilion atau 35.5 peratus kepada RM4.3 bilion disokong oleh pengukuhan nilai purata unit dan jumlah eksport,” kata jabatan tersebut.

Import Malaysia juga meningkat sebanyak 22.6 peratus setahun kepada RM72.4 bilion disumbang oleh peningkatan import barangan pertengahan, modal dan barang makanan.

Jumlah dagangan keseluruhan Malaysia meningkat sebanyak 22 peratus setahun kepada RM154.6 bilion.-MalaysiaGazette