JOHOR BAHRU – Empat sekeluarga ditemukan mati di rumah teres dua tingkat mereka di Rini Residence, Mutiara Rini di sini petang tadi.
R. Pubalan, 52, ditemukan mati dalam keadaan tergantung di sebuah bilik di tingkat dua manakala mayat isterinya, P. Jeya, 46, ditemukan dalam keadaan terlantar di atas katil berhampiran ruang tamu.
Mayat dua anak mereka, P. Sharveen, 14 dan P. Krishna, 9, pula ditemukan dengan kesan jerut di leher.
Siasatan awal mendapati, Pubalan mati dipercayai bunuh diri manakala polis sedang menyiasat punca kematian tiga yang lain.
Polis turut menemukan sekeping nota di atas sebuah meja solek berdekatan mayat Pubalan dan sedang menyiasat kandungan nota itu.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Noor Hashim Mohamad berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 2.30 petang.
“Semua mayat itu akan dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk dibedah siasat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Beliau berkata, siasatan berhubung kejadian itu sedang giat dijalankan pihaknya.
Tambahnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mati mengejut (SDR). – MalaysiaGazette