LOS ANGELES- Orang kuat dunia perfileman Hollywood dan pemenang Oscar, Harvey Weinstein bercuti daripada syarikatnya sendiri selepas satu pendedahan mengejutkan yang mengaitkan gangguan seksual yang dilakukan beliau terhadap pekerjanya serta pelakon ternama, Ashley Judd.
Dalam laporan The New York Times, Ashley mendakwa diganggu secara seksual kira-kira 20 tahun lalu ketika diminta bertemu Weinstein di dalam bilik hotelnya.
Harvey menerima kehadiran pelakon cantik itu dengan hanya memakai jubah mandi dan meminta Ashley mengurutnya dan melihat Weinsten mandi.
“Ramai wanita bercakap mengenai Weinstein dalam kalangan kami pada masa yang cukup lama dan rasa sudah tiba masanya perbualan itu dibawa ke pengetahuan umum,” kata Ashley kepada Times.
Dua pegawai syarikat yang enggan dinamakan memberitahu Times, sekurang-kurangnya lapan wanita telah menerima penyelesaian daripada Weinstein sejak beberapa tahun lalu termasuk aktres Rose McGowan yang didakwa diganggu secara seksual pada tahun 1997.
Antara cerita lain yang dikaitkan dengan Weinstein adalah beliau sering meminta wanita muda mengurut beliau semasa berbogel atau melihatnya mandi.
Weinstein menjanjikan balasan peningkatan dalam karier sekiranya wanita-wanita tersebut mengikut arahannya.
Kesemua insiden tersebut menurut mereka berlaku dalam bilik hotel.
Dalam pada itu, peguam Weinstein, Charles Harder dalam satu kenyataan berkata, berita tersebut adalah palsu dan berunsur fitnah.
“Kami telah menghantar fakta dan bukti tetapi mereka mengabaikannya dan tergesa-gesa menerbitkan artikel berkenaan,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menjawab soalan-soalan mengenai dakwaan khusus mengenai Weinstein.
Jurucakap New York Times pula melaporkan, mereka yakin dengan ketepatan laporan tersebut.
“Encik Weisntein sedar dan berkesempatan memberi maklum balas terhadap tuduhan tersebut sebelum ianya disiarkan.
“Hakikatnya, kami menyiarkan maklum balas beliau secara penuh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- MalaysiaGazette