Pengetua pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Mohd Zahid Mahmood berkata beliau sendiri tidak menyangka keadaan itu apabila ratusan ibu bapa yang mengunjungi pusat tahfiz itu selepas tragedi 14 Sept tersebut menyatakan sendiri hasrat tersebut kepadanya.
“Sebenarnya pada peringkat awal selepas kejadian itu, kami menyangka ia mungkin akan menyebabkan ibu bapa tidak mahu lagi menghantar anak-anak mereka ke pusat tahfiz, tetapi sebaliknya yang berlaku.
“Ada ibu bapa yang mengunjungi pusat tahfiz selepas tragedi itu dan terus mahu mendaftarkan anak-anak mereka dengan pusat tahfiz kami, tetapi saya terpaksa beritahu mereka supaya menunggu dahulu sehingga keadaan berkaitan tragedi itu selesai,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Dalam kejadian itu, 21 pelajar dan dua guru yang bertugas sebagai warden terkorban akibat terperangkap dalam asrama yang terbakar.
Mohd Zahid melahirkan rasa bersyukur dengan sambutan ibu bapa itu selain merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak termasuk kerajaan yang terus memberikan sumbangan dan memberi perhatian kepada pusat tahfiz itu dan waris-waris mangsa.
Mengenai perkembangan semasa para pelajar yang terselamat dalam kejadian itu, Mohd Zahid berkata, pada masa ini mereka masih bercuti bersama keluarga masing-masing untuk berehat selain menghilangkan rasa trauma yang dirasai susulan tragedi itu.
Katanya, sebelum kembali semula menyambung pengajian di pusat tahfiz itu, pelajar-pelajar tersebut akan dibawa menunaikan ibadah umrah secara berperingkat bulan ini.
“Diharapkan selepas mereka kembali dari umrah nanti perasaan trauma mereka akan hilang dan kembali fokus untuk pengajian semula,” katanya.- BERNAMA