Kamarulzaman Abdul Razak

KUALA LUMPUR – Parti-parti politik dilarang sama sekali membawa sebarang aktiviti berunsur politik ke kawasan sekolah.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Kamarulzaman Abdul Razak yang menegaskan perkara itu berkata, sebarang hal-hal berkaitan politik perlu dielak daripada dibawa ke sekolah kerana ia boleh menjejaskan hubungan antara ibu bapa dengan anak, serta murid dengan murid.

“Mungkin pandangan dan pemikiran ibu bapa berbeza dengan anak mereka.

“Begitu juga murid dengan murid yang mungkin boleh mencetuskan pergaduhan kerana perbezaan pendapat,” kata Kamarulzaman memetik laporan akhbar berbahasa Cina.

Beliau berkata, pendidikan tidak boleh digunakan sebagai alat untuk tujuan politik, tambahan pula murid dan ibu bapa mempunyai hak menyokong parti politik yang mereka inginkan.

Kamarulzaman mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menggesa guru menyertai UMNO dalam acara sekolah di Putrajaya, baru-baru ini.

“Tidak ada salah parti politik menganjurkan aktiviti di sekolah. Sebelum ini, ia memang telah berlaku. Kadangkala ada guru besar sendiri yang menjemput parti politik untuk mengadakan aktiviti di sekolah mereka.

“Kalau hanya nyanyikan lagu parti dan gantung bendera parti, ia memang tidak salah, yang salah bukan penganjuran aktiviti oleh parti politik itu, sebaliknya jika membabitkan motif penyebaran kenyataan-kenyataan berbaur politik,” ujarnya. – MalaysiaGazette