Jo
Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
KUALA LUMPUR – Kerajaan optimis untuk mencapai sasaran 60,000 akauntan bertauliah dengan nisbah seorang akauntan yang berkhidmat kepada 500 penduduk menjelang 2020 dalam menyokong usaha transformasi negara.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, perkembangan menggalakkan memberi petanda baik dalam usaha memenuhi keperluan kritikal untuk menggandakan bilangan 33,000 akauntan bertauliah sedia ada.
“Boleh (capai) semesti mampu bukan tak ramai minat kursus ini, sebab itu kita kena menggalakkan pelajar-pelajar, kita kena beritahu mereka kecantikan dalam kursus ini.
“Kalau dulu kerajaan menggalakkan jumlah doktor, sekarang kita dapat jumlah doktor yang ramai, dulu kita tiada arkitek, sekarang sudah ramai arkitek.
“Sebab itu kita kena lahirkan lebih ramai akauntan bertauliah untuk memastikan ekonomi kita ini boleh membekalkan tenaga mahir untuk membantu perniagaan dan sebagainya,” katanya kepada pemberita pada Simposium Akauntan 2017 anjuran Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera, di Universiti Malaya, di sini, hari ini.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) menyerahkan anugerah kepada penerima biasiswa cemerlang, Ahmad Fauzan Mohd Hassan (kanan) pada Majlis Simposium 2017 anjuran Perakaunan Yayasan Peneraju di Kompleks Perdana Siswa, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 07 OKTOBER 2017.
Johari berkata, Malaysia memerlukan jumlah akauntan bertauliah yang ramai memandangkan saiz ekonomi negara semakin berkembang dengan nilai dagangan di pasaran antarabangsa yang mencecah trilion ringgit.
“Ekonomi kita semakin berkembang, hari ini kita mempunyai RM1.2 trilion, kita berdagang dengan dunia dengan nilai RM1.5 trilion.
“Kemudian pasaran modal kita berjumlah RM3.1 trilion, kita punya sektor perbankan RM2.4 trilion,
“Inilah saiz ekonomi kita yang kita memerlukan penasihat kewangan, kakitangan kewangan dan akauntan profesional,” jelasnya.
Katanya, kerajaan dalam usaha untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dan profesional dalam perakaunan itu setanding negara luar.
“Kalau kita tengok dari segi perbandingan di United Kingdom umpamanya purata 10 penduduk ada seorang akauntan, kalau negara kita 500 penduduk hanya ada seorang akauntan.
“Sasaran kita sekarang ini, kita perlukan 60,000 akauntan, sekarang kita ada lebih kurang 33,000 akauntan jadi kita kena lahirkan lebih ramai kalau tidak, ia tidak mencukupi,” jelasnya.
Katanya, perkembangan teknologi juga mewujudkan keperluan kepada akauntan bertauliah dan profesional, lebih-lebih lagi dalam dunia perbankan dan perdagangan dalam talian.
“Sekarang ini kita ada perbankan sofistikated, perbankan Islamik, terbitan bon, kita memerlukan kakitangan kewangan yang baik dan akauntan untuk ke depan.
“Akauntan ini banyak peringkat, pertama dia ada akauntan teknikal, graduan akauntan, akauntan keluaran universiti dan peringkat seterusnya adalah akauntan profesional.
“Komitmen setiap pelajar dia kena ada minat, dia suka dengan profesion ini, begitu juga arkitek, doktor mereka suka profesion mereka,” katanya. – MalaysiaGazette