Datuk Seri Najib Tun Razak

ISKANDAR PUTERI – Projek pembangunan pengangkutan awam Bas Rapid Transit (BRT) akan menelan belanja RM2.56 bilion dengan RM1 bilion daripadanya dibiayai kerajaan pusat manakala baki ditanggung menerusi kerjasama swasta dan awam, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mengumumkan perkara itu hari ini, Perdana Menteri berkata, projek BRT yang berkonsepkan keterangkuman serta kemampanan itu akan dibangunkan kerajaan pusat melalui Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar dan kerajaan negeri Johor.

“BRT sebagai tulang belakang infrastruktur pengangkutan awam di Wilayah Iskandar Malaysia untuk dua dekad yang akan datang.

“BRT adalah sistem transit berasaskan bas yang berkualiti tinggi yang memberikan perkhidmatan yang reliable (boleh diharap), selesa dan cost effective (cekap kos),” katanya semasa berucap merasmikan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Kota Iskandar, di sini.

Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan BRT mempunyai ciri-ciri yang serupa dengan Transit Aliran Ringan atau metro, iaitu lebih cepat berbanding perkhidmatan bas biasa.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, BRT dijangka beroperasi pada 2021 meliputi 90 peratus kawasan Iskandar Malaysia dengan laluan sepanjang 51 kilometer dan mempunyai 39 stesen.

“Pembangunan sistem BRT ini akan dipastikan mempunyai sambungan atau link yang lancar ke Sistem Transit Rapid (RTS), Rel Berkelajuan Tinggi, KTM komuter serta terminal bas antara bandar,” kata beliau.

Najib juga yakin BRT akan menjadi pemangkin yang memacu Iskandar Malaysia ke tahap lebih berdaya saing di mata dunia serta setaraf dengan negara maju lain, sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

BRT merupakan satu daripada empat inisiatif kerajaan negeri yang dilancarkan beliau hari ini dengan tiga lagi ialah Pelan Induk Kemahiran Johor, Program Perumahan Rakyat dan Dasar Kelestarian Negara.

Menyentuh mengenai Pelan Induk Pembangunan Kemahiran Johor, Najib berkata, pelan itu akan dapat memastikan tenaga kerja di negeri itu dilengkapi kemahiran yang tepat.

Beliau berkata, aspirasi kerajaan negeri untuk memacu pembangunan kemahiran yang berteraskan bidang Latihan Teknikal dan Pendidikan Vokasional (TVET) bagi belia Johor akan diterjemahkan melalui pelan induk berkenaan.

“Saya yakin, Pelan Induk TVET Johor adalah suatu permulaan dan rujukan yang baik untuk Pelan Induk TVET yang lebih komprehensif,” katanya.

Mengenai empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang akan dibangunkan di negeri ini, Perdana Menteri berkata, kerajaan menyediakan subsidi yang cukup besar iaitu lebih RM100,000 bagi setiap unit PPR tersebut.

Najib berkata, empat projek PPR baharu itu melibatkan pembinaan 1,830 unit rumah dengan kos RM360 juta membabitkan PPR Ulu Tiram, PPR Masai, PPR Permas Jaya dan PPR Bandar Tenggara.

Projek tersebut dijangka dapat dimulakan pada hujung tahun ini atau awal tahun depan dan dijadual siap pada 2020, katanya.

“Ini merupakan komitmen kerajaan persekutuan kepada Johor. Jadi, tidak harus ada kebimbangan mana-mana pihak. Komitmen ini akan berterusan kerana Johor begitu tinggi nilai sejarah kepada perjuangan kita pada hari ini,” katanya. – Bernama