Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR – Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) akan menanggung sepenuhnya kos pengurusan membawa balik dan pengkebumian rakyat Malaysia yang meninggal dunia akibat komplikasi beberapa penyakit di Peru, Lima, pada Sabtu lalu.

Allahyarhamah Shyzlin Hataman, 43, yang berasal dari Johor itu merupakan mangsa sindiket pengedaran dadah antarabangsa.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, segala urusan dan perkara berkaitan pengurusan jenazah sedang diusahakan dan BiKUM akan mendapatkan kerjasama Wisma Putra melalui Kedutaan Malaysia di Peru.

“Bagaimanapun keputusan sama ada membawa pulang untuk dikebumikan di Malaysia atau Peru masih belum dimuktamadkan.

“Ini kerana keputusan untuk pengebumian warga negara luar di Peru agak rumit, memerlukan kelulusan tertentu dan melibatkan kos tinggi. Ada beberapa perkara yang kita harus tengok berkaitan dengan keluarga waris,” katanya pada sidang media di ibu pejabat BiKUM di Villa Putra Condo, di sini, hari ini.

Shamsul Anuar berkata, UMNO melalui Biro Kebajikannya mengambil tanggungjawab ini untuk memudahkan mengurus serta membantu keluarga dan waris bagi urusan berkaitan.

“Urusan pengkebumian dan yang berkaitan dengannya akan dibantu oleh BiKUM, ini sebahagian daripada tanggungjawab kita sebagai rasa simpati dalam negara ini,” jelasnya.

Shyzlin meninggal dunia pada 7.50 pagi waktu Malaysia kerana komplikasi beberapa penyakit termasuk asma dan kencing manis selepas dimasukkan ke hospital baru-baru ini.

Dia pernah meringkuk dalam penjara lebih empat tahun kerana menyeludup dadah dan terkandas di negara itu.

Shamsul Anuar juga berkata, Shyzlin adalah antara beberapa individu yang dalam proses untuk dibawa balik ke Malaysia.

Selain Shyzlin, pihaknya juga dalam usaha membawa balik Noor Azimah Sapie bersama anaknya, Qistina Maisara Alarcon Sapie yang terkandas selama lapan tahun di Peru.

“Seorang lagi ialah Noor Suzana Azmi, 35, bersama suami dan anak-anaknya untuk dibawa pulang ke Malaysia. Pasangan ini juga terlibat dalam sindiket keldai dadah di Peru,” katanya.

Beliau turut menjelaskan, urusan membawa pulang dua lagi warga negara Malaysia itu bukan mudah memandangkan mereka baru menjalani tempoh hukuman di Peru akibat jenayah terbabit.

“Mereka ini dikelaskan sebagai bekas banduan, maka mereka perlu menjalani beberapa proses tertentu dan dijangka mengambil masa sehingga dua bulan bergantung kepada prosedur Kerajaan Peru.

“Insya-Allah kebenaran untuk membawa balik mereka pulang akan diperolehi selewat-lewatnya hujung tahun ini,” katanya lagi.

Tambahnya, usaha itu dilakukan untuk menyatukan semual mereka yang terpisah dengan keluarga akibat sindiket pengedaran dadah antarabangsa tersebut.

“BiKUM berharap agar kes ini menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia dan anak-anak muda khususnya wanita agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan sebarang tawaran yang tidak diketahui hujung pangkal,” tegas beliau.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast