Reaksi ceria Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mencuba permainan simulasi kereta ketika melawat tapak pameran sambil diiringi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (kanan) pada Majlis Perasmian Ekspo Kreatif dan Inovatif Ekonomi Kebangsaan 2017 (NICE 17) di Taman Teknologi, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 12 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu memberi penekanan kepada kepentingan aktiviti yang berkaitan kajian dan pembangunan (R&D) serta inovasi dalam usaha menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2050.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, membangunkan teknologi dan inovasi menjadi agenda penting yang mana tumpuan akan terus diberi untuk meneroka pendekatan yang kreatif dan inovatif bagi memimpin negara menghadapi cabaran ekonomi baharu.

“Walaupun perbelanjaan R&D negara terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar telah meningkat dari 1.26 peratus pada tahun 2014 kepada 1.3 peratus pada tahun 2015 namun, ia masih rendah berbanding dengan sesetengah negara maju lain.

“Di samping perbelanjaan R&D yang dibiayai oleh kerajaan, pihak swasta juga perlu berusaha untuk meningkatkan perbelanjaan menyokong aktiviti R&D,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Ekspo Sains Teknologi dan Inovasi (STI) di Bukit Jalil di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datul Seri Shahidan Kassim.

Ahmad Zahid berkata, tumpuan juga perlu terus diberi untuk melaksanakan penyelidikan yang selaras dengan bidang keutamaan dan juga permintaan industri melalui kerjasama strategik antara pihak kerajaan, industri dan ahli akademik.

Katanya, platform seperti menawarkan perkhidmatan pakar untuk menyelesaikan masalah pengeluaran dan mengukuhkan kerjasama antara pengeluar dengan institusi penyelidikan.

Tambah beliau, di samping itu ia juga dapat mengurangkan kos pelaksanaan R&D, meningkat pengetahuan teknikal serta menambah baik proses kerja.

“Malaysia akan gagal sebagai sebuah kerajaan, sebuah masyarakat dan sebuah bangsa jika kita gagal memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi dalam melaksanakan mandat kita.

“Penyelesaian hampir semua masalah lingkungan kita adalah pada sains dan teknologi, bukannya politik.

“Di luar sana terlalu banyak sains tetapi kurang dimanfaatkan. Di luar juga terlalu banyak teknologi tetapi gagal digunakan untuk memajukan bangsa,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast