Dua daripada tiga kapal membawa pasir ditahan di Pelabuhan Klang untuk siasatan.

KUALA LUMPUR – Maritim Malaysia menahan tiga kapal membawa pasir yang berlabuh tanpa kebenaran dalam jarak 0.4 batu nautika dari daratan Selatan Lumut, dekat Pelabuhan Klang, semalam.

Tiga kapal itu dengan 19 krew ditahan sepasukan anggota Maritim Malaysia Selangor antara jam 2.15 hingga 2.45 petang.

Menurut Pengarah Maritim Daerah, Kapten Maritim Abu Zaki Mohammad, penahanan itu dibuat susulan aduan dari Jabatan Laut Wilayah Tengah yang mengesyaki ketiga kapal berkenaan melakukan kesalahan.

“Pemeriksaan lanjut ketiga-tiga kapal itu mendapati ada 18 krew warganegara China dan seorang krew warganegara Indonesia berumur lingkungan 29 tahun hingga 58 tahun. Mereka yang ditahan itu adalah 18 lekaki dan seorang perempuan.

“Kapal berkenaan kemudian diiringi ke Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut,” katanya dalam kenyataan kepada media di sini, hari ini.

Katanya, Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan operasi di lokasi yang telah dikenal pasti sebagai kawasan titik panas bagi menghalang jenayah maritim dari berlaku.

Beliau meminta orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap kepada Maritim Malaysia jika terdapat sebarang aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah di laut melalui di talian 24 jam MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia. – MalaysiaGazette