Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP), Tony Tan Chee Chong (kanan) menunjukkan papan tanda cadangan pembangunan kondominium 45 tingkat di atas tanah rezab jalan di Jalan Peel, Kuala Lumpur, hari ini.
KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) bersama sekumpulan penduduk hari ini membantah cadangan pembinaan kondominium 45 tingkat berdekatan sebuah penempatan di Lorong Peel  hari ini.

Ketua Biro Pemantauan Salah Guna Kuasa dan Hal Ehwal Kaum Cina PMSP, Tony Tan Chee Chong mendakwa, projek pembangunan rumah bertingkat mewah itu dibina di atas tanah rizab yang diperuntukkan bagi pembinaan jalan raya.

“Jangan salah guna kuasa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) suruh kita mesyuarat pasal penggunaan tanah ini, tapi sampai hari ini kami tidak terima sebarang berita.

“Mereka halau penduduk dari tanah rizab jalan ini alasan mahu bina jalan, tapi mereka bina kondominium pula. Sekarang mereka jual rumah ini. Tak adil, kita ada bukti tanah ini rezab jalan raya,” katanya kepada pemberita ketika melawat tapak cadangan pembangunan itu hari ini.

Sekumpulan penduduk memegang kain rentang membantah cadangan pembangunan kondominium 45 tingkat di atas tanah rezab jalan di Jalan Peel, Kuala Lumpur, hari ini.
Tony juga berkata, pembangunan kondominium di atas tanah rizab jalan itu bakal menimbulkan masalah lain termasuk kesesakan lalu lintas, khususnya di waktu puncak.

“DBKL digesa membatalkan projek ini dan bina kemudahan sepatutnya bagi memudahkan penduduk mengatasi kesesakan lalu lintas,” tegasnya.

Tony berkata lagi, tindakan DBKL yang memberi kelulusan bukan satu bahkan tiga pembangunan kediaman mewah bertingkat di Jalan Peel hanya meresahkan penduduk dan memberi imej buruk kepada kerajaan.

“Jangan salah guna kuasa dan bagi rakyat bencikan kerajaan. Ini kerana kerajaan memang baik, orang yang buat kerja ini bagi masalah kepada rakyat

“Tanah rezab ini dekat 15 tahun dan dikatakan mahu buat jalan raya, sekarang mereka buat kondominium, macam ada satu penipuan di sini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.