Bekas Pengasas Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin bercakap pada sidang media mengenai saman fitnah atas tuduhan menerima RM7 juta dari UMNO di Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 13 OKTOBER 2017.

BANGI – Bekas Pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin mempersoal kredibiliti pemimpin tinggi parti itu yang tidak mengambil sebarang tindakan berhubung pendedahan awal ketua sayapnya, Syed Saddiq Abdul Rahman berkenaan ‘Rangkaian Dedak Terancang’ dalam sidang media terdahulu.

“Syed Saddiq dengan sedih dan sebak menyatakan beliau sudah mengetahui perancangan ‘Rangkaian Dedak Terancang’ sejak Disember 2016 lagi.

“Malah katanya lagi, ini turut diketahui pimpinan tertinggi PPBM. Peliknya jika mereka mengetahui semua perancangan ini kenapa tidak bertindak lebih awal?

“Kenapa tidak didedahkan dan diambil tindakan? Saya difitnah mendapat RM7 juta bermula Jun 2017. Kenapa perancangan ‘Rangkaian Dedak Terangkai’ yang kononnya diketahui sejak Disember 2016 hanya didedahkan baru-baru ini?” kata Anina pada sidang medianya, petang tadi.

Anina, yang juga bekas Ketua Srikandi PPBM menyifatkan sidang media Syed Saddiq pada 2 Oktober lalu menjurus untuk menutup kelemahan parti itu sendiri dengan membuat dakwaan habuan RM7 juta tersebut.

Syed Saddiq pada sidang medianya awal bulan ini mendakwa wujudnya rangkaian dedak yang sistematik sedang digunakan untuk mempengaruhi pemimpin kanan keluar meninggalkan parti.

Beliau juga mendedahkan tiga pengasas PPBM yang telah keluar parti sebelum ini iaitu Kamarulazman Habibur Rahman, Datuk Hamidah Osman dan Anina adalah individu yang didakwa turut menerima habuan berkenaan.

Syed Saddiq mendakwa beliau juga ditawarkan RM5 juta untuk mengadakan sidang media mengumumkan beliau akan meninggalkan negara dan memburukkan parti dan pimpinannya.

Ketua Armada PPBM itu mendakwa wang tersebut ditawarkan dengan syarat beliau menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir – bertujuan bagi menggambarkan pemimpin parti hanya memikirkan perjuangan peribadi.

“Saya percaya sehingga ke hari ini Syed Saddiq mahu pun mana-mana pimpinan PPBM masih belum membuat laporan kepada SPRM tentang dakwaan berkaitan usaha yang disebut ‘Rangkaian Dedak Terancang’ itu.” – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast