KUALA LUMPUR – Beberapa NGO akan mengadakan pameran Operasi Lalang (Ops Lalang) sempena ulang tahun ke-30 operasi itu bagi mengenang ‘kekejaman’ dilakukan oleh bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) menangkap seramai 106 aktivis dan musuh-musuh politiknya.

SUARAM, salah satu NGO hak asasi manusia bersama tiga lagi badan, Civil Rights Comittee of KLSCAH, Teoh Beng Hock Trust For Democracy dan KLSCAH Youth akan menganjurkan pameran itu pada 20 Oktober ini.

“Operasi Lalang merupakan peristiwa pelanggaran hak asasi manusia yang paling utama dalam sejarah Malaysia, ia menyaksikan kerajaan pimpinan Mahathir menggunakan ISA untuk menahan 107 ahli politik, sosial aktivis, ahli akademik dan guru bermula pada 27 Oktober 1987.

“Kerajaan juga mengharamkan tiga penerbitan, Sin Chew Jit Poh, Watan dan The Star,” kata Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy dalam satu sidang media di sini hari ini.

Jelas Sevan, operasi tersebut sebenarnya dijalankan oleh Mahathir bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan kuasanya dalam UMNO pada ketika itu yang sedang berpecah akibat perpecahan kem Team A dan Team B tetapi y-ang menjadi mangsa adalah musuh-musuh politiknya.

“Diketahui umum bahawa ketegangan kaum adalah gerakan yang dijalankan oleh UMNO untuk mendapatkan sokongan orang Melayu kepada Mahathir yang mengetuai Team A dimana sedang dilawan Team B yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah waktu itu,” katanya.

Malah, Sevan berkata, Mahathir tidak pernah berhenti sejak kejayaan Operasi Lalang malah berterusan menggunakan ISA untuk menekan dan menangkap musuh-musuh politiknya.

“Mahathir terus menggunakan ISA untuk menangkap pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad dan bekas timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” ujarnya.

Dalam pada itu, sasterawan negara, A. Samad Said berkata, pameran yang bakal diadakan itu penting khususnya untuk generasi muda supaya sedar tentang betapa pentingnya untuk menghormati demokrasi.

“Ia bertujuan untuk menyedarkan rakyat supaya ‘mencantas’ demokrasi dan tidak mengulangi operasi seperti itu lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatakuasa Hak Asasi KLSCAH, Liau Kok Fah pula berkata, ramai generasi muda sekarang ini tidak mengetahui tentang insiden yang menjadi sejarah hitam negara itu dan berharap dengan pameran yang diadakan itu dapat mendedahkan cerita sebenar insiden itu.

“Ramai generasi muda yang tidak banyak tahu tentang insiden ini. Oleh sedemikian, kita nak supaya generasi muda tahu apa yang sebenarnya berlaku,” kata beliau.

Pameran tersebut akan bermula pada 28 Oktober dan satu forum juga akan diadakan dimana mangsa dan ahli-ahli keluarga mangsa turut dijemput untuk berkongsi pengalaman mereka tentang kesengsaraan alami. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

Comments are closed.