KUALA LUMPUR – Polis setakat ini menerima sebanyak 27 laporan bantahan orang ramai membabitkan penganjuran Himpunan Sayangi Malaysia Hapus Kleptokrasi yang dirancang di Padang Timur, Petaling Jaya esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya tidak memperakui penganjuran itu walaupun difahamkan Majlis Bandaraya Petaling Jaya sudah memberi ‘lampu hijau’ kepada program anjuran pakatan pembangkang itu.
“Itu kawal selia MBPJ sebagai pihak berkuasa tempatan tetapi tetap kami tidak berganjak dan tegas dengan keputusan kami tidak benarkan himpunan di lokasi itu.
“Masalah trafik menjadi isu di tempat itu dan kita dah cadang tempat selesa di Stadium Kelana Jaya yang lebih luas. Kita tidak akan berganjak dari keputusan kami sebelum ini untuk bertindak jika melanggar peraturan,” katanya dalam sidang media di Pusat Latihan Polis hari ini.
Turut bersama Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.
Mohamad Fuzi juga menegaskan, polis tidak mahu lagi mengulangi kenyataan dalam isu berkaitan kerana ia sudah dinyatakan pendirian mereka sebelum ini.
Dalam perkembangan lain, beliau turut mengesahkan tangkapan beberapa suspek disyaki terlibat dengan aktiviti pengganas di Kelantan.
Kumpulan tersebut dipercayai akan melakukan serangan dan salah seorang suspek merupakan pelajar berkepakaran membuat bom ditahan polis semalam.
“Maklumat lengkap penahanan itu akan sediakan dalam tempoh tiga hari lagi kerana siasatan masih dijalankan polis ,” katanya tanpa mengulas lanjut.- MalaysiaGazette