KUALA LUMPUR – “Himpunan Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” anjuran pakatan pembangkang yang dijadualkan berlangsung hari ini disifatkan sebagai himpunan politik yang paling hipokrit pernah mereka lakukan.
Malah perkataan ‘kleptokrasi’ yang mereka gunakan pertama kali disebut oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) yang bertujuan memfailkan saman yang sehingga kini gagal membuktikan sebarang perkaitan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, Ketua de facto Pakatan pembangkang, Lim Kit Siang juga mendakwa kononnya Najib memalukan negara atas kesalahan kleptokrasi ternyata tidak benar sama sekali apabila Najib telah diberikan layanan VIP sepanjang beliau berada di sana.
“Yang menjadikan perhimpunan ini antara yang paling hipokrit yang pernah mereka lakukan kerana di pihak pakatan pembangkang sendiri tercalit beberapa skandal salah laku yang sehingga kini langsung tidak diperjelaskan.
“Suatu ketika dahulu, sebelum Tun Mahathir (Mohamad) menyertai pakatan ini, pemimpin pembangkang sering kali menuduh dan menyelar beliau dengan pelbagai pertuduhan.
“Ketua Umum PKR, (Datuk Seri) Anwar Ibrahim di atas pentas sering kali menuduh Tun Mahathir sebagai bapa segala korupsi, nepotisme dan kronisme malah sering mempersoal kekayaan anak-anaknya yang luar biasa termasuk pernah menulis artikel yang bertajuk ‘Why Mahathir is Malaysia’s worst ever prime minister?’,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ketua Bahagian UMNO Sri Gading itu juga menambah, Kit Siang juga pernah menggelarkan Tun Mahathir sebagai individu nombor satu paling rasis dalam negara dan pernah mendesak supaya kerajaan melakukan siasatan terhadap insiden kerugian RM30 bilion Bank Negara Malaysia dan pernah menganggap bekas perdana menteri keempat itui sebagai pengkhianat negara.
Malah katanya, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu pula di atas pentas ceramah secara terang-terangan mendakwa segala kerosakan yang berlaku di negara kita ini adalah akibat perbuatan Mahathir dan menggelarkan beliau sebagai ‘Bapa Pelingkup Negara’.
“Tetapi, pelik hari ini apabila Tun Mahathir berpakat dengan mereka seolah-olah ‘dosa-dosa’ yang mereka tuduh itu terampun secara tiba-tiba.
“Tidak cukup setakat itu, pakatan pembangkang ini dengan rasa tidak segan silu melakukan perhimpunan atas nama ‘Selamatkan Negara’.
“Saya melihat ini adalah perhimpunan pembangkang yang paling hipokrit pernah dilakukan setakat ini dengan keadaan di pihak mereka sendiri yang masih bergelumang dengan pelbagai skandal yang tidak terjawab seperti isu terowong Pulau Pinang, isu rumah banglo yang dibeli di bawah harga pasaran, isu derma orang ramai yang digunapakai oleh syarikat kepunyaan sendiri dan pelbagai lagi.
“Ini merupakan usaha tipu daya pakatan pembangkang untuk mengelirukan rakyat namun saya percaya rakyat cukup arif untuk melihat dan menilai segala apa yang diperkatakan oleh pihak pakatan pembangkang adalah hipokrit kerana pada akhirnya yang benar-benar perlu diselamatkan ialah negara kita daripada fitnah dan tipu dakyah pakatan pembangkang,” tegasnya lagi.- MalaysiaGazette