Tuan Ibrahim Tuan Man
Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR –  Penubuhan Gagasan Sejahtera di Selangor bukan bertujuan untuk mencampuri urus pentadbiran negeri itu, kata Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Jelasnya, Gagasan Sejahtera yang ditubuhkan dengan kerjasama empat parti dan badan bukan kerajaan (NGO) menegaskan, gabungan itu tidak akan bersama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Itu (penubuhan Gagasan Sejahtera Selangor) tidak bercanggah dengan pentadbiran kerana tidak masuk campur urusan pentadbiran Selangor.

“Telah pun menjadi satu isyarat kepada Selangor khususnya Gagasan Sejahtera sedia bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14.

“Gagasan Sejahtera tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan di Selangor,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Bulanan Ahli Jawatakuasa Pas Pusat di ibu pejabat parti itu hari ini.

Hadi sama, Setiausaha Agung Pas, Dauk Takiyuddin Hassan dan Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan.

Semalam, Pas yang mengetuai Gagasan Sejahtera bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Barisan Jemaah Islamiah Semalaysia (Berjasa), dan Parti Cinta Malaysia (PCM) melancarkan gagasan itu di peringkat negeri Selangor.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, kesediaan Pas membentuk Gagasan Sejahtera sudah menampakkan hasil apabila berjaya mengatasi sokongan pengundi Melayu berbanding UMNO.

Ujarnya, dengan penglibatan parti politik, NGO dan tokoh-tokoh korporat dan agamawan dalam gagasan itu, ia dilihat mampu untuk melonjak penguasaan Pas pada PRU-14 akan datang.

“Berdasarkan kajian yang dibuat oleh pelbagai pihak, sokongan kepada Pas yang mengetuai gagasan ini sangat baik sehingga kini, kita atasi sokongan Melayu mengatasi UMNO.

“Kita yakin dengan blok ketiga ini melibatkan tiga komponen parti politik, NGO dan tokoh-tokoh korporat dan agama,” katanya lagi.

Parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu kini sudah memutuskan hubungan dengan semua parti pembangkang dalam PH.

Terbaharu, Pas memutuskan hubungan dengan PKR pada muktamar lalu setelah parti pimpinan Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail itu terus bekerjasama dengan DAP, Parti Amanah Negara dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dalam membentuk PH. -MalaysiaGazette.