SANTA ROSA – Ribuan lagi penduduk California mengosongkan kediaman masing-masing semalam ketika kebakaran hutan merebak berikutan arah angin yang kerap bertukar, dan pegawai menjangka angka kematian akan meningkat dengan ratusan lagi masih hilang.
Enam belas kebakaran besar, sebahagiannya adalah beberapa api kecil yang bergabung, di kawasan utara San Francisco memusnahkan kawasan hampir seluas 86,000 hektar sejak tujuh hari lalu, atau secara kasar 537 kilometer, kawasan lebih luas daripada New York City.
Kematian disahkan setakat ini adalah 35, termasuk 19 di Sonoma, menjadikan ia adalah kes kebakaran paling buruk dalam sejarah California.
Kira-kira 10,000 dipaksa berpindah, termasuk 3,000 semalam dari San Francisco, dan 250 lagi dari Sonoma. Bencana itu memusnahkan banyak rumah dan premis perniagaan.
“Ia amat sukar dikawal ketika ini,” kata pegawai penerangan kebakaran, Dennis Rein.
Lebih 10,000 anggota bomba bergelut memadamkan kebakaran, yang sudah memusnahkan 5,700 bangunan.
Sekurang-kurangnya 12 ladang anggur di Napa Valley dan Sonoma rosak atau musnah, menjadikan industri wain dan pelancongan negeri itu terjejas.
Dari udara, 70 helikopter dan pesawat besar termasuk 747, dua DC-10 dan 12 tangki udara memadamkan kebakaran di seluruh kawasan terjejas menggunakan bahan kalis api.
Di darat, banduan membantu anggota bomba dengan menggali laluan untuk membantu mengekang api, menyediakan makanan di pusat arahan, dengan dipantau pengawal. – Agensi