Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak (tengah) diiringi Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu, Tan Sri Dr. Rahim Tamby Chik (kiri) melakukan gimik perasmian Penutup Konvensyen Industri Digital Bumiputera (KIDB) anjuran Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) di Dewan Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 16 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak akan meminggirkan orang Melayu dalam ekonomi digital dan menggesa mereka memanfaatkan sepenuhnya teknologi sedia ada untuk meningkatkan pendapatan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Salleh berkata, keutamaan kepada bumiputera khususnya kepentingan orang Melayu sememangnya sudah termaktub dalam Perlembagaan dan kerajaan akan memastikan rohnya juga disemai seiring dengan perkembangan teknologi digital yang sedang pesat membangun.

“Perlembagaan negara mengambil kira kedudukan istimewa orang-orang Melayu dan bumiputera.

“Oleh itu kita mahu pastikan terdapatnya roh Perlembagaan di dalam perkembangan digital di negara ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan perasmian penutup Konvensyen Industri Digital Bumiputera 2017 di PWTC hari ini.

Kata Salleh, hal itu penting supaya dijadikan panduan kepada semua pihak bagi melihat lebih ramai bumiputera khususnya golongan peniaga mempunyai penguasaan yang adil dalam perkembangan digital.

Tambah beliau, kementeriannya yang bertanggungjawab dalam menjaga hal ehwal digital tempatan, akan mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak dari semasa ke semasa untuk memastikan kaum bumiputera dapat melibatkan diri dalam setiap trend digital yang berlaku.

Salleh menyifatkan dunia ketika ini memasuki Revolusi Industri keempat dimana dunia teknologi memainkan peranan yang penting dan ia akan memberi kesan besar kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

“Sekiranya kita tidak mempersiapkan diri untuk memahami kepentingan revolusi ini, dikhuatiri ada syarikat PKS yang akan ketinggalan kelak.

“Malah sekiranya kita gagal melihat kepada konteks masa hadapan melalui ekonomi digital ini, ia turut boleh menyebabkan syarikat PKS tidak berdaya saing sehingga ada yang terpaksa gulung tikar atau bankrap,” ujarnya lagi.

Beliau juga menggesa supaya industri PKS perlu lebih kreatif supaya impak perubahan Revolusi Industri 4.0 dapat diserap.

Menurut Salleh lagi, apa yang lebih merisaukan adalah pertumbuhan dalam aktiviti keusahawanan Bumiputra tidak seiring dengan kadar pembangunan keseluruhan negara.

“Saiz pasaran e-dagang di Malaysia sehingga 2016 meningkat sebanyak USD 1.5 billion dengan pengguna internet seramai RM21 juta. Sehingga 2016, e-dagang telah menyumbang sebanyak 5.8 peratus kepada KDNK negara dan kerajaan mensasarkan peningkatan dua kali ganda menjelang tahun 2020 kepada RM211 billion,” katanya lagi. – MalaysiaGazette