Home Ekonomi Urus niaga mudah alih Maybank naik 91%

Urus niaga mudah alih Maybank naik 91%

KUALA LUMPUR – Maybank mencatatkan peningkatan sebanyak 91 peratus dalam urus niaga dana perbankan mudah alih pada sembilan bulan pertama tahun 2017 berbanding lebih 40 peratus melalui komputer meja.

Trend itu sekali gus menunjukkan tren perbankan mudah alih terus mendapat sambutan dalam kalangan pengguna di Malaysia.

Ini dibandingkan dengan peningkatan 48 peratus dalam urus niaga dana perbankan mudah alih pada tahun 2016 yang juga menyaksikan urusniaga berasaskan laman sesawang meningat sebanyak 34 peratus.

Ketua, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan berkata, Maybank akan terus fokus membangunkan pengalaman perbankan mudah alih yang terbaik pada kelasnya demi memenuhi permintaan pelanggan.

Sempena perayaan Deepavali ini, Maybank memperkenalkan perkhidmatan DeepaMONEY yang boleh didapati menerusi aplikasi baharu Maybank dan juga di laman sesawang.

“Pemberian duit raya telah menjadi tren yang semakin meningkat dan lebih ramai rakyat Malaysia telah menerima idea pemberian duit raya menerusi platform digital semasa musim perayaan sejak diperkenalkan pada Hari Raya tahun 2015.

Tahun lepas, Maybank telah mencapai hampir 1,500 transaksi DeepaMONEY tempoh masa dua minggu dengan nilai berjumlah sebanyak RM200,000.

“Kami berharap, lebih ramai pengguna akan mengambil peluang untuk menggunakan perkhidmatan ini terutamanya buat yang tersayang yang berada di perantauan,” katanya.

Sejak tahun 2015, lebih daripada RM8.8 juta telah dihantar untuk pelbagai musim perayaan.

“Kelebihan perkhidmatan ini membolehkan pemberian duit raya, e-perayaan dilakukan secara pemindahan segera dengan jumlah serendah RM1.”

Sempena Deepavali ini, Maybank mengajak orang ramai mengambil bahagian dalam pertandingan LightUp2Win bagi membolehkan mereka memenangi hadiah wang tunai sehingga RM12,000 dan peluang menaiki Uber sehingga RM2 juta serta memenangi hadiah utama iaitu dua unit telefon pintar baharu, Samsung Galaxy Note 8.- MalaysiaGazette