Presiden MyPPP, Tan Sri Datuk Seri M. Kayveas bercakap kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali myPPP 2017 di Little India, Brickfields Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 18 OKTOBER 2017.

KUALA LUMPUR – Semua rakyat Malaysia disyorkan merebut pelbagai peluang disediakan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup dan ekonomi keluarga yang selama ini dimanfaatkan oleh warga asing.

Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP), Tan Sri M. Kayveas berkata, peluang ini perlu direbut rakyat Malaysia untuk membangunkan kaum masing-masing selaras dengan kemajuan negara.

“Kita lihat ramai orang luar datang sini ambil peluang, Malaysia adalah tanah peluang, ramai orang luar datang sini cari peluang. Saya harap semua rakyat, semua kaum Malaysia yang duduk di sini ambil kesempatan ini.

“Kalau tidak lebih ramai orang asing masuk sini ambil kesempatan dan kebangaan negara ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Sambutan Hari Deepavali anjuran MyPPP di Little India, Brickfields, di sini, hari ini.

Hadir sama Perdana Menteri, Datuk Seri  Najib Tun Razak; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Kayveas berkata, rakyat Malaysia amat bertuah kerana masih merasai kebebasan untuk meraikan perayaan agama masing-masing tanpa sebarang gangguan dan halangan.

“Kita ambil kesempatan peluang ini di mana kita di Malaysia hidup dengan aman, damai dan makmur. Ini adalah satu cara kita duduk di Malaysia yang mengamalkan perpaduan dan kepelbagaian.

“Kita ada peluang di Malaysia ini untuk merayakan apa juga perayaan, tiada halangan berbanding negara lain. Ini adalah keistimewaan di Malaysia di mana kita dapat peluang merayakan dan semua perayaan agama tertentu,” katanya.

Beliau berkata, menerusi Program Transformasi Nasional 2050 (TN50), pelbagai pembangunan infrastruktur rakyat diberi perhatian serius oleh Perdana Menteri dan kerajaan, sekali gus mewujudkan pelbagai peluang.

“Kita boleh lihat dari segi ekonomi, kesihatan, pendidikan dan semua bidang kita kita dapat peluang untuk melihat betapa banyak pembangunan dan kita semakin maju menerusi program-program transformasi sejak dulu,” jelasnya.

Katanya, walaupun ada pihak tertentu khususnya pembangkang berterusan memburukkan nama baik negara, namun Perdana Menteri dan Kabinetnya terus membangunkan dan mempertahankan ekonomi Malaysia.

“Walaupun kita ada masalah luar negara kita dan ada pemimpin-pemimpin tertentu yang mengutuk negara ini, bagi gambaran yang tak baik kepada luar negara, namun kerajaan telah berjaya membangunkan dan mempertahankan ekonomi kita,” katanya lagi. –  MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast