SEMPORNA – Penempatan kira-kira 11,000 anggota dan aset keselamatan bernilai RM100 juta di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan keselamatan di Sabah terus terjamin, kata Komander Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Datuk Hazani Ghazali.
Katanya, keprihatinan khusus yang diberikan kerajaan itu tidak cukup jika masyarakat tidak mewujudkan jaringan kerjasama dengan pasukan keselamatan dalam memastikan tahap keselamatan kekal terjamin.
“Ini tanggungjawab bersama sebab itu saya menekankan konsep ‘jaga tepi kain’ supaya masyarakat menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pasukan keselamatan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya pada majlis penutupan program semarak rakyat bersama Esscom di sini, malam tadi.
Program tersebut disempurnakan oleh Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Ramlee Marahaban.
Dalam pada itu, Ramlee berkata, program tersebut merupakan platform terbaik Esscom mendekati rakyat selaras dengan hasrat kerajaan untuk merakyatkan perkhidmatan awam.
“Kehadiran lautan manusia pada majlis penutupan ini tanda bukti rakyat yakin dengan usaha Esscom menjaga keselamatan di Esszone sekali gus mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap keselamatan di Semporna yang menjadi tumpuan pelancong domestik dan antarabangsa,” katanya.
Menurutnya, pada hari ini tahap keselamatan di Esszone semakin terkawal, bagaimanapun semua pihak tidak leka malah berwaspada dan siap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Ramlee, yang juga wakil rakyat Bugaya, berkata, usaha dan koordinasi Esscom dan rakyat perlu diperkukuh untuk memantapkan lagi aspek keselamatan dalam berdepan cabaran keselamatan.
Sejumlah kira-kira-kira 20,000 penduduk hadir pada program sehari itu di padang pekan Semporna dengan tujuan memberi pendedahkan terperinci mengenai tugas dan peranan agensi itu. – MalaysiaGazette