PULAU PINANG – Di sebalik pelbagai aduan dibuat orang ramai dan menjadi tular di laman sosial berhubung sindiket pemmbohongan kad kredit, seorang akauntan berusia 53 tahun di sini tetap terperangkap dan menjadi mangsa.
Lebih malang, Lim Lye Bee, 53, yang berpengalaman selama 27 tahun dalam bidang kewangan diperdaya sehingga kerugian lebih setengah juta ringgit.
Menurut Lye Bee, episod malangnya itu bermula pada 4 Oktober lalu selepas menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mendakwa kad kredit atas namanya digunakan bagi pembelian berjumlah RM4,229.
Terkejut dengan dakwaan itu, katanya, dia menghubungi nombor telefon seperti tertera pada SMS berkenaan dan dijawab seorang wanita yang mengaku merupakan kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM).
Lebih mengejutkan, katanya, wanita berkenaan turut memaklumkan satu lagi kad kredit atas namanya turut digunakan untuk membuat pembelian sebanyak RM7,900.
“Wanita berkenaan mendakwa nama saya mungkin digunakan orang lain dan meminta saya menghubungi talian 03-92126300 yang didakwa milik BNM supaya siasatan lengkap dapat dilakukan.
“Saya menghubungi nombor itu dan dijawab seorang lelaki yang meminta kesemua nombor akaun bank saya supaya BNM dapat menutup akaun-akaun berkenaan.
“Pada hari sama, saya dihubungi seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Tuan Lim dan mendakwa pegawai BNM yang meminta saya melakukan pindahan wang ke akaun kawalan BNM,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MCA di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Biro Perkhidmatan Awam dan Pengaduan MCA, Gui Guat Lye.
Menurut Lye Bee, `Tuan Lim’ turut meminta dia memindahkan RM200,000 kepada dua akaun bank yang didaftarkan atas nama Looi Kai Weng dan Low Chien Seng.
Ujarnya, keesokan harinya, dia menerima panggilan telefon daripada seorang wanita bernama Nora yang meminta mengeluarkan kesemua wang untuk dimasukkan ke dalam satu akaun bank lain yang kononnya dikawal BNM.
“Saya kemudian memindahkan sebanyak RM150,000 atas nama Looi Kai Wong manakala pindahan kedua sebanyak RM50,000 dan beberapa traksaksi ke atas nombor akaun yang diberikan yang keseluruhannya berjumlah RM510,000,” katanya.
Penipuan berkenaan, katanya, terbongkar apabila wanita berkenaan memaklumkan buku akaun bank kawalan BNM akan diserahkan kepadanya pada pukul 5 petang hari sama namun sehingga kini dia tidak menerimanya.
“Sehubungan itu, saya telah membuat laporan polis dan laporan kepada BNM dan berharap kes ini dapat disiasat segera,” katanya.
Sementara itu, Guat Lye menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan segera dan menyeluruh memandangkan ramai yang sudah menjadi mangsa kepada sindiket berkenaan membabitkan kerugian jutaan ringgit. – MalaysiaGazette