KUALA LUMPUR – Kata orang suhu di Cameron Highlands tidak sesejuk dahulu.

Mungkin itu harga yang perlu dibayar atas nama pembangunan dan sesiapa menjadi wakil rakyat di sana perlu mengambilkira perkara itu.

Berbalik kepada suhu, suasana politik di Cameron Highlands juga semakin ‘panas’ sebenarnya.

Sepanjang jalan dari Tanah Rata ke Brinchang – perang poster sudah bermula walaupun tarikh pilihanraya umum belum ditetapkan.

Poster-poster semakin meriah menjelang Hari Deepavali baru-baru ini, sebelah gambar Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP), Tan Sri M. Kayveas dan sebelah pula poster Ketua Pemuda MIC, Datuk C. Sivaraajh.

Ceritanya, Kayveas mendakwa kerusi parlimen di pusat peranginan Pahang itu sinonim dengannya kerana beliau anak kelahiran Cameron Highlands dan mengenali ramai penduduk di sana.

Malah sejak tahun lepas, umum mengetahui Kayveas kerap ulang alik dan turun padang ke sana. Nampak macam sudah macam wakil rakyat.

Ada yang sudah memberi gelaran Kayveas – Lion Of Cameron.

Bagaimanapun, atas kertas Parlimen Cameron Highlands memang kerusi tradisi MIC dan masih disandang oleh bekas Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel.

Memandangkan sudah pasti Palanivel tidak lagi menjadi calon, kerusi berkenaan Parlimen Cameron Highlands menjadi rebutan Kayveas yang dahulu kalah di Parlimen Taiping pada PRU-13.

Ada mendakwa Kayveas memegang janji bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad yang pernah menjanjikannya kerusi itu pada tahun 2000.

Bagaimanapun, Presiden MIC, Datuk Seri S. Subramaniam tetap mempertahankan kerusi Parlimen Cameron Highlands itu kekal milik partinya

Beliau berkata dakwaan Kayveas bahawa kerusi Parlimen Cameron Highlands akan dikembalikan kepada parti itu adalah tidak benar sama sekali.

“Perdana Menteri (yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak) sendiri telah memaklumkan kepada saya bahawa kerusi tersebut adalah milik MIC dan tidak akan berubah kepada parti lain,” katanya kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Deepavali di kediamannya di Lorong Ujong Pasir, Melaka semalam.

Sebelum itu pun, MIC sudah lama mengarahkan Ketua Pemudanya, Sivaraajh turun padang di Cameron Highlands seterusnya bakal menjadi calon Parlimen di kawasan pusat peranginan di Pahang itu.

Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarraajh Chandran.

Kemelut siapa bakal calon BN di Parlimen Cameron Highlands perlu diselesaikan segera sebelum PRU-14.

Walaupun ia dianggap kerusi selamat BN namun ‘membiarkan’ Kayveas beria-ria mahu kerusi yang tidak akan diberi oleh MIC suatu perkara sia-sia.

BN perlu beri kata putus dan jalan penyelesaian bukan membiarkan Kayveas dan Sivaraajh dalam penantian.

Jika salah seorang dipilih menjadi calon, ada dalam kalangan mereka kecewa. Jika calon bukan dari MIC dan MyPP dipilih kedua-duanya lagi kecewa dan memberi kesan kepada jentera BN.

Sila-silap kemelut yang sama bakal memberi ruang dan peluang keemasan kepada calon Pakatan Harapan menang mudah di kawasan itu pada PRU-14.

Rakyat dan pengundi Cameron Highlands memerhatikan perkara itu dan bakal membuat keputusan. Sudahlah wakil rakyat yang lama didakwa kurang turun padang yang bakal calon pula saling berebut-rebut dibiarkan pula oleh BN.

Bimbang Tanah Rata jadi Tanah Kubur kepada BN di Cameron Higlands.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Comments are closed.