Datuk Patrick Ooi (tengah) bersama ahli Penang Front Party (PFP) ketika membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang berhubung tindakan seorang ahli majlis pihak berkuasa tempatan menyalahgunakan kuasa dari 2008 hingga 2015.

PULAU PINANG – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat dakwaan seorang bekas Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri ini yang didakwa telah menyalahgunakan kuasanya membabitkan pemberian projek bernilai berbilion ringgit.

Pengerusi Penang Front Party (PFP), Datuk Patrick Ooi mendakwa, perbuatan itu dilakukan ahli majlis daripada DAP berkenaan sejak 2008 hingga 2015.

Dakwanya lagi, lelaki berusia 40-an yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu juga memberikan beberapa projek kepada syarikat yang mempunyai hubungan dengannya untuk mendapatkan ganjaran.

Malah, kata beliau, pihaknya juga mempunyai lebih 10 saksi yang bersedia memberi keterangan bagi membantu siasatan SPRM terhadap perbuatan lelaki berkenaan sekiranya perlu.

“Ada saksi ini yang merupakan pegawai kerajaan yang dipaksa untuk mengambil projek berkenaan sebelum suspek menyerahkannya kepada syarikat berkaitan supaya dia memperolehi keuntungan.

“Kita juga dimaklumkan individu ini bertindak campur tangan dalam pelbagai projek yang dijalankan PBT termasuk dalam proses undang-undang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas membuat laporan kepada SPRM di ibu pejabat suruhanjaya itu di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.

Ketika ditanya berhubung maklumat peribadi bekas ahli majlis itu, Patrick bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Menurutnya, beliau sudah menyerahkan maklumat itu kepada SPRM dan berharap siasatan lanjut dapat dijalankan segera. – MalaysiaGazette