Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bergambar kenangan dengan peserta-peserta Malaysia Chinese Youth Summit 2017 yang diadakan di Wisma Huazong, Serdang. foto SAFWAN MANSOR, 21 OKTOBER 2017

SERDANG – Kerajaan tidak mempunyai masalah untuk menambah dan membina lebih banyak Sekolah Jenis Pendidikan Cina (SJKC) yang mempunyai aliran pengajaran bahasa Melayu di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, ini kerana penguasaan Bahasa Melayu dalam institusi berkenaan perlu dipertingkatkan bagi terus memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat di Malaysia.

“Bahasa Melayu adalah medium komunikasi yang mampu mempromosikan perpaduan di kalangan rakyat negara ini dan seharusnya ia dikuasai semua rakyat Malaysia tanpa mengira perbezaan latar belakang, agama, kaum dan bangsa.

“Kita akan membina lebih banyak SJKC jika ada permintaan dan kapasiti bersesuaian, baik di dalam dan luar bandar,” katanya sewaktu menjawab soalan pada sesi dialog TN50 : Malaysia Chinese Youth Summit 2017 di Wisma Huazong, Serdang dekat di sini hari ini.

Hadir sama, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Mengulas lanjut mengenai cadangan pembinaan lebih banyak SJKC, Najib berkata, perkara tersebut kini dalam perbincangan antara Kementerian Pendidikan, Tiong Lai dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Mah Siew Keong sebelum sebarang kata putus boleh dicapai dan diumumkan kelak.

Menyentuh mengenai perpaduan kaum, Najib menarik perhatian, negara memerlukan lebih banyak ‘moments of unity’ seperti sokongan kepada atlet sukan negara dalam menjamin keharmonian berterusan dan mengelakkan isu-isu sensitif yang boleh menggangu-gugat keamanan yang telah tercapai.

Jelasnya, usaha ini tidak boleh dipikul kerajaan dan agensi kerajaan semata-mata tetapi memerlukan penglibatan sektor swasta dalam memainkan watak penting menghidupkan semangat perpaduan tersebut. – MalaysiaGazette